China Terus Perkasa Paltform Terbuka, Stabilkan Pelaburan Asing

(CRI)Isnin 17 Mac 2025

China akan terus meningkatkan kecekapan pelbagai platform terbuka sebagai usaha menstabilkan pelaburan asing.

Platform berkenaan merangkumi zon pembangunan ekonomi dan teknologi peringkat negara, zon demonstrasi komprehensif untuk keterbukaan sektor perkhidmatan, zon rintis perdagangan bebas dan sebagainya.

Menurut Kementerian Perdagangan (MOFCOM), seiring dengan pelaksanaan 'Pelan Tindakan Menstabilkan Pelaburan Asing 2025', syarikat asing diyakini akan memperoleh peluang pembangunan yang lebih besar daripada pasaran China.

Kini, China mempunyai sebanyak 232 zon pembangunan ekonomi dan teknologi peringkat negara yang menyumbang satu persepuluh daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Jumlah penggunaan pelaburan asing oleh zon berkenaan dicatat melepasi satu perlima daripada keseluruhan negara.

Pada 2024, zon demonstrasi komprehensif untuk keterbukaan sektor perkhidmatan berjaya menarik pelaburan asing sebanyak USD41.3 bilion (RM183.6 bilion), menyumbang kira-kira 50.2 peratus kepada keseluruhan pelaburan asing dalam sektor berkenaan.

Satu tinjauan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Jepun di China (CJCCI) mendapati 58 peratus anggotanya akan meningkatkan atau mengekalkan skala pelaburan mereka di China.

Laporan Dewan Perniagaan Amerika di China pula menunjukkan, 53 peratus firma Amerika Syarikat (AS) yang ditinjau dijangka terus menambah pelaburan mereka di negara Tembok Besar pada tahun ini.

Video

Berita Berkaitan