Memajukan Hak Asasi Manusia Menersui Pembangunan: Kepentingan Global Amalan China

Pada "Lianghui" tahun ini, China mengumumkan pelbagai dasar menggalakkan yang telah dikemaskini. Ia bukan sahaja mencerminkan langkah baharunya dalam pemodenan, tetapi juga membentangkan pelan tindakan pembangunan yang bervisi.

Selaras dengan trajektori kebangsaannya yang tersendiri, China telah mengharungi pelbagai cabaran yang kompleks untuk mendakap kejayaan dalam pertumbuhan ekonomi, kemajuan sosial dan perlindungan hak asasi manusia.

Pada Mei 2023, Presiden China, Xi Jinping dalam ucapannya telah menyeru terhadap penjajaran yang lebih rapat antara pembangunan populasi berkualiti tinggi dan piawaian kehidupan yang berkualiti tinggi. Beliau turut menekankan tentang keperluan untuk mengintegrasi pelaburan infrastruktur dengan pembangunan manusia yang ketara.

Kesemua pendekatan tersebut, yang telah dibentangkan pada laporan kerja kerajaan pada tahun ini, mencari lebih banyak saluran dana dan sumber untuk memenuhi keperluan rakyat. Ia sekali gus memerlihatkan falsafah hak asasi manusia China yang berpusatkan rakyat.

Laporan tersebut juga menggariskan satu agenda yang meluas dalam memperbaik kesejahteraan sosial, iaitu memadankan sasaran makroekonomi besar dengan langkah bersasar pada peringat mikro.

Menurut laporan yang dikeluarkan itu, China akan melindungi hak dan kepentingan rakyat dengan lebih baik buat golongan yang terlibat dalam pekerjaan yang fleksibel dan pekerjaan bentuk baharu, serta mengembangkan percubaan terhadap insurans kecederaan ketika sedang bekerja.

Difahamkan, subsidi kerajaan untuk insurans perubatan asas buat penduduk luar bandar dan penduduk bandar yang tidak bekerja akan ditingkatkan sebanyak RMB30 seorang, dan subsidi terhadap perkhidmatan asas kesihatan awam akan dinaikkan sebanyak RMB5 seorang.

Bagi mengatasi isu populasi menua secara aktif, China akan membangunkan ekonomi perak secara serius dan memajukan perkhidmatan penjagaan warga emas di rumah dengan sokongan komuniti.

Untuk itu, China akan memberikan lebih banyak penjagaan kepada warga emas kategori kurang upaya, dan lebih banyak sokongan buat perkhidmatan katering bantuan untuk warga emas serta untuk pembelian dan penyewaan alat pemulihan bantuan.

Pembangunan perundangan di bawah pimpinan Pemikiran Xi Jinping terhadap Kedaulatan Undang-undang merupakan asas kepada agenda memperhebat hak asasi manusia China. Kemajuan perundangan China yang menakjubkan bukan sahaja memperlihatkan pertumbuhan ekonomi yang mantap, malah turut menjamin kestabilan sosial jangka panjang.

Pada masa sama, evolusi terhadap keseluruhan demokrasi rakyat China telah membuka ruang baharu untuk penyertaan penduduknya dalam pembikinan dasar, aktiviti ekonomi, kehidupan kebudayaan dan hal ehwal sosial yang sejajar dengan undang-undang.

Tatkala China menuju kemajuan pemodenan dan mencapai kemakmuran bersama, tiada satu kumpulan etnik pun yang tidak akan tertinggal.

Apa yang dialami oleh Xinjiang menceritakan bagaimana kesemua dasar tersebut dapat diterjemah dalam tindakan. Dalam setahun yang lalu, wilayah autonomi tersebut merekodkan kenaikan KDNK dari tahun ke tahun sebanyak 6.1 peratus, dan peningkatan 10.5 peratus dalam hasil belanjawan awam umum, dengan lebih daripada 77 peratus perbelanjaan fiskal diperuntukkan untuk memperhebat kebajikan awam.

Lebih menarik, volum pengangkutan kereta api kargo di wilayah itu juga bertumbuh sebanyak 10.6 peratus, iaitu kadar terpantas di seluruh China, sementara sektor pelancongan pula mengalami ledakan apabila menerima lebih 300 juta pengunjung.

Dalam transformasi persekitaran, Gurun Taklimakan yang dahulunya pernah digelar sebagai ‘lautan kematian’, telah dikelilingi oleh lingkaran hijau yang menyekat pasir. Terowong Shengli Tianshan, iaitu terowong lebuh raya terpanjang di dunia, menjadi bukti kepada kehandalan kejuruteraan China.

Kesemua pembangunan tersebut merupakan hasil kolektif yang memberi gambaran Xinjiang dengan kebudayaan yang dinamik, berkembang maju dan perpaduan, sekali gus mencuri tumpuan dunia.

Strategi China untuk memajukan hak asasi manusia menerusi pembangunan telah mencapai implikasi global secara meluas. Dengan menyepadukan perlindungan hak asasi manusia dalam kerangka kerja pembangunan kebangsaan, China telah mempromosi hak asasi manusia menerusi kemajuan sosial dan pertumbuhan ekonomi.

Dalam kerangka kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, China telah mendahului model pentadbiran hak asasi rakyat berdasarkan kesaksamaan, saling hormat dan dialog yang membina, serta kerjasama.

Hak asasi rakyat berbeza bagi setiap negara, dengan setiap satunya perlu disediakan mengikut sejarah unik dan konteks sosial masing-masing. Dalam usaha proaktif China yang pelbagai termasuk daripada pembasmian kemiskinan sehingga pendidikan menyeluruh, inovasi teknologi, pembangunan hijau dan keselamatan sosial, ia menawarkan pengalaman pembangunan hak asasi manusia yang berharga buat negara-negara membangun yang lain.

Dalam era mengejar keamanan, pembangunan dan hak asasi manusia yang menjadi aspirasi sejagat serta trend lazim dalam kemajuan global, China tetap dengan pendiriannya bahawa kerjasama antarabangsa kekal menjadi kunci dalam pembinaan komuniti berkongsi nasib untuk umat manusia.

Video

Berita Berkaitan