14 Filem Baharu Bakal Ditayangkan Semasa Cuti Pesta Qingming di China

14 Filem Baharu Bakal Ditayangkan Semasa Cuti Pesta Qingming di China
Sebuah pawagam di Jiaxing, provinsi Zhejiang. (Xinhua/Jin Peng)

Sejumlah 14 filem baharu akan ditayangkan pada cuti sempena Pesta Qingming pada 4 hingga 6 April di China, termasuk filem The Next Storm yang menampilkan juara dunia UFC, Zhang Weili sebagai utama yang pertamanya.

Zuo Heng, pengarah Jabatan Penyelidikan Kebudayaan Filem di Arkib Filem China ketika diwawancara Global Times pada Isnin berkata bahawa, dalam pasaran filem hari ini, China bukan sahaja memerlukan filem blokbuster seperti Ne Zha sahaja untuk bangkit, tetapi juga aliran filem yang lebih kecil dan dibikin dengan baik yang menyentuh emosi penonton.

"Hanya dengan menawarkan rangkaian genre yang lebih luas dan produksi berkualiti tinggi secara konsisten, kami dapat memenuhi pilihan penonton wayang yang pelbagai dan secara kolektif menarik lebih ramai penonton baharu ke pawagam," katanya.

Pada tahun 2010, Lan, arahan Jiang Wenli, telah ditayangkan semasa Pesta Qingming, yang juga dianggap sebagai filem pertama China yang tayangannya dijadualkan khusus untuk cuti tersebut.

Global Times yang memetik China News Service melaporkan bahawa lebih sedekad kemudian, Qingming telah berkembang menjadi tempoh pecah panggung yang mantap dengan barisan filem yang semakin pelbagai.

Satu tema biasa yang diangkat oleh beberapa filem pada Qingming dilihat bertepatan dengan emosi dan cabaran yang dihadapi oleh kumpulan yang terpinggir, secara tidak langsung ibarat menceritakan cerita sebenar rakyat biasa.

Banyak filem yang sering diperbincang pada tahun ini jatuh kepada kategori realisme. Antara contoh adalah seperti We Girls yang menerokai integrasi semula wanita yang pernah dipenjarakan ke dalam masyarakat; The Way Out, sebuah komedi gelap yang menyelidiki sifat manusia; Mumu, yang memberi tumpuan kepada komuniti bermasalah pendengaran; dan The Next Storm, yang menonjolkan daya tahan wanita.

Memetik China News Service lagi, Global Times melaporkan bahawa filem We Girls arahan Feng Xiaogang dan dibintangi oleh Zhao Liying telah menjana sambutan pra-tayangan yang signifikan. Filem itu berkisarkan tentang Zhao yang terdesak untuk membeli implan koklea untuk anak perempuannya. Dalam cerita tersebut, dia telah berpakat dengan bekas tahanan penjara untuk bangkit menentang prejudis sosial.

Selain 14 filem baharu tersebut, Ne Zha 2 yang baru-baru ini berada di tangga 5 teratas dalam pecah panggung global, sekali lagi melanjutkan tempoh tayangannya, iaitu sehingga 30 April.

Mengimbas kembali pada pecah panggung Pesta Qingming tahun 2024, dua filem import iaitu The Boy and the Heron dan Godzilla x Kong: The New Empire telah mengungguli carta, sekali gus menyaksikan rekod baharu bagi tempoh percutian itu, dengan catatan pendapatan sebanyak RMB842 juta.

Pada tahun ini, jumlah filem import dilihat lebih kecil, dengan hanya menampilkan filem A Minecraft Movie yang diadaptasi daripada permainan kotak pasir popular, dan juga filem animasi Jepun, Mobile Suit Gundam GQuuuuuuX Beginning.

Video

Berita Berkaitan