Cuti Panjang Hari Buruh Bakal Saksi Ledakan Pelancongan

Foto pelancong yang baru keluar dari Kota Larangan di Beijing, pada Jumaat. (China Daily/Wang Xin)

Foto pelancong yang baru keluar dari Kota Larangan di Beijing, pada Jumaat. (China Daily/Wang Xin)

Pakar-pakar dan agensi pelancongan optimistik terhadap prestasi pasaran pelancongan di China semasa cuti panjang sempena Hari Buruh tidak lama lagi, dengan kedua-dua pelancongan domestik dan keluar dijangka meledak pada tempoh itu, lapor agensi berita China Daily.

Menurut China Daily, keyakinan tersebut disokong oleh angka positif dalam penggunaan pelancongan yang direkodkan pada suku pertama tahun ini.

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan China memaklumkan bahawa jumlah lawatan pelancong domestik telah mencecah sekitar 1.8 bilion untuk tiga bulan pertama, iaitu peningkatan sebanyak 26.4 peratus dari tahun ke tahun. Secara tidak langsung, ia juga telah mendorong kepada penggunaan berkait pelancongan yang sebanyak RMB1.8 trilion, iaitu kenaikan 18.6 peratus berbanding tahun terdahulu.

Percutian panjang Hari Buruh selama lima hari mulai Khamis ini akan menjadi cuti panjang terakhir di China untuk separuh pertama tahun 2025. Berdasarkan tempahan yang dilakukan setakat ini, banyak agensi pelancongan menjangkakan bahawa prestasi pasaran pelancongan domestik akan mengatasi prestasi pada dua tahun yang sebelumnya.

Tuniu, portal pelancongan berkata bahawa pada pertengahan April, tempahan pelancongan pada platform itu terhadap destinasi domestik telah meningkat 100 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Naib presiden syarikat itu, Qi Chunguang menyatakan bahawa pengembaraan jarak pendek ke luar negara dan jarak panjang domestik telah memperlihatkan pertumbuhan yang kukuh. Katanya, pengembaraan secara kendiri akan terus menyaksikan kenaikan semasa musim percutian.

Penyedia perkhidmatan pelancongan, Qunar pula berpendapat bahawa pelancongan ke bandar, kaunti dan pekan yang lebih kecil menunjukkan trend menaik, khususnya dalam kalangan pengembara muda yang mencarik pengalaman unik, dengan destinasi utama yang kurang dikenali tetapi menjadi trend termasuk kaunti Pingtan di Provinsi Fujian, Yangshuo di Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi dan Kaunti Anji di Provinsi Zhejiang.

“Saya harap agar dapat ke tempat yang tidak terlalu ramai orang semasa cuti nanti. Ia adalah masa yang baik untuk rehat daripada kerja dan saya akan meluangkan masa sepenuhnya terhadap alam semula jadi yang penuh asyik,” ujar Li Miao, 31, penduduk Shanghai yang akan menghabiskan masa selama empat hari tiga malam di Anji – tempat yang terkenal dengan inap desa direka cantik dengan landskap pemandangan luar bandar nan indah.

Lapor China Daily, pakar-pakar dan agensi pelancongan turut meletakkan harapan yang tinggi terhadap prestasi aktiviti pelancongan keluar dan masuk dalam tempoh tersebut.

Trip.com memaklumkan bahawa volum tempahan untuk perkhidmatan sewa kereta di destinasi luar negara dan seberang laut akan melonjak 25 peratus berbanding tahun terdahulu. Destinasi pilihan kekal di tempat dengan tempoh perjalanan yang pendek termasuk Hong Kong, Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Singapura.

Memetik platform dalam talian itu lagi, terdapat lebih banyak destinasi — seperti Qatar, Austria dan Kazakhstan — muncul sebagai pilihan trend, susulan daripada pelaksanaan dasar visa yang dioptimumkan, peningkatan penerbangan dan lebih banyak laluan udara, kata kumpulan itu.

“Saya dan suami saya akan meminta cuti tambahan dua hari dan berehat tujuh hari untuk perjalanan kami ke Norway,” kata Song Haiyan, 34, dari Beijing, yang akan berlepas ke negara itu pada Khamis.

Dia berkata, berikutan pada bulan Mei bukanlah musim puncak perjalanan tradisional di Norway, sekali gus menyaksikan perjalanan ke sana merupakan pilihan yang menjimatkan bagi mereka.

Trip.com berkata pelancongan masuk juga akan menikmati peningkatan sepanjang percutian ini, hasil daripada dasar kemasukan dan bayaran balik cukai yang dioptimumkan. Video yang mempromosikan perjalanan baru-baru ini di China oleh bintang YouTube Darren Jason Watkins Jr — juga dikenali sebagai IShowSpeed ​​— yang mempunyai 39.2 juta pengikut, telah menjadi tular dalam kalangan pelancong di seluruh dunia.

Video

Berita Berkaitan