Sebarang Rundingan akan Berlangsung Tanpa Gencatan Senjata - PM Israel

(CRI)Isnin 12 Mei 2025

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri Israel semalam, negaranya sudah menggubal dasar bahawa sebarang rundingan dengan Hamas akan diadakan tanpa gencatan senjata pada masa depan sehingga semua matlamat peperangan dapat dicapai.

Kenyataan tersebut juga mendedahkan bahawa pihaknya telah dimaklumi Amerika Syarikat (AS) tentang Hamas akan membebaskan Aidan Alexander, tahanan yang memiliki dua kewarganegaraan AS dan Israel. Langkah Hamas ini dilihat sebagai isyarat kepada AS dan dijangka akan memudahkan rundingan mengenai pembebasan tahanan yang selebihnya berdasarkan cadangan gencatan senjata yang dikemukakan oleh Utusan Khas AS bagi Isu Timur Tengah, Steven Wittkoff.

Cadangan tersebut telah mendapat persetujuan dari Israel sebelum ini dan negara itu sudah memulakan persiapan untuk memungkinkan pelaksanaan terbabit.

Hamas pula dalam kenyataan dikeluarkan pada hari yang sama menyatakan bahawa pihaknya telah membuat persiapan bagi rundingan yang akan datang dan akan berusaha sedaya upaya untuk mencapai perjanjian muktamad untuk mengakhiri peperangan, bertukar-tukar tahanan dan mendirikan sebuah jawatankuasa yang bebas dan profesional mentadbir kawasan Genting Gaza.

Kesemua ini bertujuan untuk memastikan keamanan dan kestabilan di kawasan itu, di samping menjalankan pembinaan semula dan menamatkan sekatan.

Video

Berita Berkaitan