“Demam Tenis” Landa China

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 05 November 2024

Pertandingan Terbuka Guangzhou Persatuan Tenis Wanita (WTA) 2024 melabuhkan tirai di ibu provinsi Guangdong pada 27 Oktober. Acara ini, yang sejarahnya menjangkau lebih dua dekad, sekali lagi mencetuskan gelombang “demam tenis” di China.

“Kejayaan cemerlang” menjadi definisi sukan tenis China pada 2024.

Tahun ini, pemain tenis China tidak henti-henti melakarkan kejayaan cemerlang baik dalam prestasi diri mahupun ranking dunia. Di Sukan Olimpik Paris, Zheng Qinwen meraih pingat emas perseorangan wanita, sementara pasangan Zhang Zhizhen dan Wang Xinyu membawa pulang perak acara regu campuran. Kejayaan mereka menjadikan tenis China topik hangat.

Jualan tiket pertandingan tenis di China turut melambung, fenomena yang jelas menunjukkan rakyat China semakin berminat pada tenis.

Pemain tenis profesional China Zheng Qinwen masuk ke gelanggang suku akhir Terbuka Wuhan WTA, 11 Oktober 2024. (People’s Daily Online/Zhou Guoqiang)

Pemain tenis profesional China Zheng Qinwen masuk ke gelanggang suku akhir Terbuka Wuhan WTA, 11 Oktober 2024. (People’s Daily Online/Zhou Guoqiang)

Berbeza dengan pingpong dan badminton, tenis bukanlah sukan yang sudah lama didominasi pemain China. Sukan ini banyak keperluannya dari segi kemahiran, keadaan gelanggang dan kos latihan, faktor yang sebelum ini menghalang perkembangannya di China.

Keadaan berubah pada 2004 apabila pemain China membawa pulang pingat emas acara regu wanita Olimpik di Athens, kejayaan yang memungkinkan sukan tersebut berkembang dengan gaya sendiri di China.

Pingat yang diraih oleh atlet China di Olimpik Paris juga mencetuskan ledakan tenis di tanah air.

Sejak berakhirnya temasya di Paris, tenis mengalami pertumbuhan pesat di China, yang terbukti dengan kepopularan agensi latihan serta jualan pakaian dan peralatan.

“Demam tenis” China menjadi-jadi lagi dengan adanya pelbagai pertandingan tenis yang dianjurkan di pentas domestik.

Bai Xilin, pengarah pusat pentadbiran tenis di bawah Pentadbiran Am Sukan China, percaya bahawa kemajuan pesat sukan tenis inilah yang menandakan transformasi China daripada sebuah negara sukan yang kuat kepada sebuah gergasi bidang sukan.

Pada malam 13 Oktober, final perseorangan wanita Terbuka Wuhan (WTA) diadakan di Pusat Tenis Antarabangsa Optics Valley. Tempat duduk penonton penuh berisi, sorak-sorai yang menyokong pemain China Zheng Qinwen menggegarkan venue.

Foto menunjukkan perlawanan pada Terbuka Wuhan WTA 2024. (Foto ihsan laman Weibo rasmi Terbuka Guangzhou WTA)

Foto menunjukkan perlawanan pada Terbuka Wuhan WTA 2024. (Foto ihsan laman Weibo rasmi Terbuka Guangzhou WTA)

Menurut statistik, jualan tiket sehari dan keseluruhan kutipan bagi Terbuka Wuhan kali ini mencatat rekod baharu. Lebih 180,000 peminat tenis hadir, melonjak 80 peratus berbanding kali terakhir diadakan pada 2019.

Juga mengagumkan ialah jualan tiket Terbuka China dan Masters Shanghai yang berlangsung pada tempoh cuti Hari Kebangsaan China awal Oktober. Kutipan tiket Terbuka China 2024 memecahkan rekod sendiri dengan jumlah melebihi 80 juta yuan, meningkat 60 peratus berbanding tahun lalu. Masters Shanghai pula merekodkan bilangan penonton dan kutipan tiket tertinggi dalam sejarah pertandingan, dengan kehadiran seramai 220,00 orang.

Sukan tenis cerminan perubahan drastik gaya hidup rakyat China, dan akan menjana potensi penggunaan yang cukup besar. Kajian menunjukkan bahawa industri sukan mengalami ledakan apabila KDNK per kapita melebihi 8,000 dolar. Sejajar dengan standard hidup dan daya penggunaan warga China yang terus meningkat, asas bagi popularisasi sukan tenis juga akan bertambah kukuh.

Populasi tenis yang meningkat dan gelanggang yang mencukupi turut menyumbang kepada perkembangan pesat sukan ini di dalam negeri.

Memetik laporan Persekutuan Tenis Antarabangsa pada 2021, China di ranking kedua global dari segi penglibatan, dengan 19.92 juta orang terlibat dalam tenis, iaitu 22.9 peratus populasi tenis sejagat. China juga memiliki 49,767 gelanggang, kedua tertinggi di dunia.

Ulas Bai Xilin lagi, tenis masih mempunyai ruang pertumbuhan di China ekoran bilangan penduduk serta potensi pembangunan sosioekonomi negara.

Tahun ini, banyak acara tenis antarabangsa dianjurkan di China, sekali gus menonjolkan kedinamikan baharu tenis China kepada dunia.

Berdasarkan data Persatuan Tenis China, sebanyak 98 acara tenis antarabangsa telah diadakan di 48 bandar China tahun ini dengan penyertaan atlet, jurulatih dan pegawai teknikal dari lebih 52 negara dan wilayah. Angka ini membuktikan betapa tinggi pengiktirafan komuniti tenis antarabangsa terhadap suasana di China serta kemampuan China untuk menjadi tuan rumah acara tenis.

Foto menunjukkan seorang budak perempuan belajar bermain tenis di kaunti Wuning, provinsi Jiangxi, timur China. Dengan populasi hanya sekitar 300,000 orang, kaunti Wuning mempunyai lebih 13,000 pelajar sekolah rendah dan menengah rendah yang mengikuti latihan tenis. (Foto ihsan Workers’ Daily)

Foto menunjukkan seorang budak perempuan belajar bermain tenis di kaunti Wuning, provinsi Jiangxi, timur China. Dengan populasi hanya sekitar 300,000 orang, kaunti Wuning mempunyai lebih 13,000 pelajar sekolah rendah dan menengah rendah yang mengikuti latihan tenis. (Foto ihsan Workers’ Daily)

Video

Berita Berkaitan