Rizab Alam Semula Jadi untuk Burung Jenjang Leher Hitam Dipelihara Baik di Yunnan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 21 Februari 2025

Pemandangan di Rizab Alam Semula Jadi Kebangsaan Dashanbao Yunnan untuk Burung Jenjang Leher Hitam yang terletak di bandar Zhaotong, Provinsi Yunnan, barat daya China. (Foto oleh Yunnan Daily)

Pemandangan di Rizab Alam Semula Jadi Kebangsaan Dashanbao Yunnan untuk Burung Jenjang Leher Hitam yang terletak di bandar Zhaotong, Provinsi Yunnan, barat daya China. (Foto oleh Yunnan Daily)

Sejurus sahaja selesai makan tengah hari, Chen Guanghui, penjaga burung jenjang leher hitam di Rizab Alam Semula Jadi Kebangsaan Dashanbao Yunnan untuk Burung Jenjang Leher Hitam di bandar Zhaotong, Provinsi Yunnan, lantas akan ke trek untuk memberi makan kepada burung.

Dalam penceritaannya, dia memberitahu bahawa ibu mentuanya telah mula memberi makan kepada burung-burung tersebut secara sukarela pada 1992, dan dia telah mengambil alih tugas itu pada 2003.

Tambah Chen, burung-burung tersebut akan tiba di situ pada setiap tahun seperti biasa, iaitu semasa bulan ke sembilan kalendar tradisional Cina, dan akan berpergian pada bulan ketiga tahun yang seterusnya.

Menurutnya, kerajaan telah memberi penekanan kepada peri penting melindungi haiwan jenis itu pada tahun-tahun mutakhir.

“Walhasil, populasi burung jenjang leher hitam yang akan menghabiskan masa sepanjang musim sejuk di Dashanbai telah meningkat daripada hanya sekitar 200 pada 1990 kepada 2,000 ekor pada masa kini,” ujar Chen.

Jelas Chen, reputasi rizab alam semula jadi yang kian meningkat juga adalah susulan daripada kedatangan peminat burung dari pelbagai tempat, sekali gus mendorong ekopelancongan tempatan, serta meningkatkan kesedaran tentang pemeliharaan burung dalam kalangan penduduk setempat.

Chen Guanghui sedang memberi makan kepada burung jenjang leher hitam. (Foto oleh Yunnan Daily)

Chen Guanghui sedang memberi makan kepada burung jenjang leher hitam. (Foto oleh Yunnan Daily)

Difahamkan, Zhaotong juga telah melaksanakan pendekatan serampang tiga mata dalam usaha melindungi burung jenjang tersebut iaitu menguatkuasakan kawal selia perlindungan yang lebih khusus, mewujudkan mekanisme pemampasan, serta melaksanakan beberapa siri projek ekologi.

Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut, bandar itu juga melancarkan program untuk menempatkan semula beberapa penduduk dari Dashanbao untuk meminimumkan impak aktiviti manusia terhadap burung jenjang leher hitam dan haiwan lain secara beransur-ansur.

Sejak 2014 juga, rizab alam semula jadi itu telah melalui pembaikpulihan habitat yang luas, dengan membina kolam pembersihan air seluas 1.53 hektar, memulihkan 608.78 hektar tanah lembap, dan mewujudkan pangkalan sumber makanan untuk burung tersebut seluas 30 hektar.

Pada masa sama, bandar Zhaotong turut memanfaatkan teknologi modern untuk melindungi burung jenjang tersebut, dengan lebih 30 kamera infra merah telah dilengkapi serta platform pintar untuk memerhatikan pergerakan burung-burung itu dalam masa nyata.

Untuk rekod, kejayaan pembiakan burung jenjang leher hitam di Dashanbao telah melonjak sebanyak 15 peratus dari tahun ke tahun pada 2022, sementara kadar kelangsungan hidup burung muda telah melebihi 80 peratus.

Hakikatnya, peningkatan populasi burung jenjang leher hitam dan burung-burung lain pada musim sejuk juga merupakan hasil usaha bersama oleh para pekerja di rizab alam semula jadi serta komuniti setempat.

Video

Berita Berkaitan