CCPIT Gesa AS Hormati Undang-Undang Pasaran Ekonomi dan Prinsip Persaingan Adil

(CRI)Isnin 24 Februari 2025

Laman web Rumah Putih pada 21 Februari mengeluarkan memorandum dasar pelaburan "America First", mengumumkan bahawa ia akan menyesuaikan dasar pelaburan Amerika Syarikat (AS) dan menyekat lagi pelaburan dua hala dengan China.

Sehubungan dengan itu, jurucakap Majlis Penggalakan Perdagangan Antarabangsa China (CCPIT) sebagai respons terhadap langkah AS tersebut pada 24 Februari berkata pihaknya telah mengambil maklum mengenai memorandum tersebut.

Ujarnya komuniti perniagaan China secara tegas menentang AS menyalahgunakan konsep keselamatan negara dan menghalang pertukaran ekonomi dan perdagangan antara pemain industri kedua-dua negara.

Di satu pihak, AS menyekat pelaburan syarikat China dalam sektor teknologi, infrastruktur penting, kesihatan, pertanian, tenaga, dan bahan mentah AS melalui langkah-langkah seperti semakan keselamatan pelaburan dan lain-lain.

Manakala di pihak lain, ia terus meluaskan skop sekatan pelaburan ke China menerusi sekatan ekonomi dan audit kewangan.

"Kami menggesa AS menghormati undang-undang pasaran ekonomi dan prinsip persaingan adil, menjelaskan sempadan keselamatan negara dalam bidang ekonomi dan perdagangan, menarik balik sekatan ke atas pelaburan dua hala antara China dan AS, agar membina persekitaran baik untuk komuniti perniagaan kedua-dua negara melaksanakan kerjasama yang saling menguntungkan," kata jurucakap CCPIT.

Video

Berita Berkaitan