China, Laos Saling Hantar Kuasa Bersih

(CRI)Khamis 27 Februari 2025

Grid Kuasa Selatan China (CSG) mengumumkan bahawa projek jaringan transmisi kuasa 500 kilovolt (kV) melalui kerjasama China-Laos memulakan pembinaan secara rasmi pada Rabu.

Menurut CSG, projek itu melibatkan pembinaan talian penghantaran sepanjang 183.5 kilometer bermula dari provinsi Oudomxay di Laos sehingga provinsi Yunnan di China, dengan membangunkan sebuah substesen baharu berkapasiti 500 kV.

Projek itu dijadual beroperasi pada 2026, dengan kapasiti menyalurkan bekalan elektrik bersih sebanyak tiga bilion kilowatt-jam (kWh) saban tahun.

Naib Pengurus Syarikat Antarabangsa Lancang-Mekong CSG, Lin Rui berkata fasiliti berkenaan mampu meningkatkan kapasiti penghantaran kuasa dua hala antara China dengan Laos, yang dijangka mencapai 1.5 juta kilowatt.

"Apabila Laos mempunyai lebihan elektrik, bekalan berkenaan akan dihantar ke China; ketika tempoh puncak penggunaan elektrik di negara itu, kuasa bersih dari China akan menjadi bekalan tambahan.

"Melalui pendekatan seumpama, agihan bekalan kuasa bersih rentas sempadan dapat terus dioptimumkan," ujar Lin.

Video

Berita Berkaitan