Kemunculan Kerjaya Baharu Permudah Pembangunan Sukan Ais dan Salji

Tatkala sukan ais dan salji semakin popular, beberapa kerjaya baharu yang berkaitan turut sama muncul.

Kementerian Sumber Manusia dan Keselamatan Sosial China telah memperakui kerjaya baharu seperti pembuat salji, juruteknik penyelenggara papan luncur, dan penyelamat ski, dengan kesemua pekerjaan itu telah menyuntik daya hidup kepada pembangunan industri sukan musim sejuk.

Li Weiwei, merupakan seorang pembuat salji di Peranginan Ski Mazhongshan di Hohhot, Wilayah Autonomi Mongolia Dalam di utara China, iaitu kawasan meluncur untuk orang awam yang seluas 420,000 meter persegi.

Menurut Li, kerja-kerja membuat salji memerlukan pengalaman yang panjang dan individu yang terlibat pula harus terus belajar menerusi latihan. Dia dan rakan-rakannya juga kerap meluangkan berjam-jam masa untuk memerhatikan cara mesin pembuat salji beroperasi, serta sering mendapatkan nasihat daripada rakan-rakan yang lebih senior.

Dalam tempoh kurang dari empat tahun, Li yang berdedikasi telah berjaya menjadi pekerja mahir dalam membuat salji. Dengan hanya mendengar bunyi mesin, dia boleh mengenal pasti sama ada ia berfungsi dengan baik atau sebaliknya, serta mengetahui kualiti salji dengan hanya berjalan di atasnya.

Seusai tamatnya musim ski, Li akan membantu untuk menyelenggara peralatan membuat salji dan menyokong operasi projek lain di tempat peranginan itu.

Tambahnya, kini lebih ramai golongan muda yang menyertainya dalam menjadi pembuat salji susulan sukan musim sejuk yang semakin mendapat perhatian ramai.

“Anggota pasukan kami kebanyakannya lahir selepas tahun 1995 dan 2000. Kami sentiasa mencari ruang untuk menghasilkan salji yang lebih baik dalam menambah baik pengalaman pelancong,” ujar Li.

Foto 1: Yu Chunsheng, juruteknik penyelenggara papan luncur sedang menyelenggara sebuah papan luncur. (Foto ihsan individu yang diwawancara)  Foto 2: Li Weiwei, pembuat salji sedang memperbaiki sebuah mesin pembuat salji. (People’s Daily/Zhao Jingfeng)  Foto 3: Yao He (pertama dari kanan), seorang penyelamat ski dan rakan-rakannya sedang menyelamatkan seorang pemain ski. (Foto ihsan individu yang diwawancara)

Foto 1: Yu Chunsheng, juruteknik penyelenggara papan luncur sedang menyelenggara sebuah papan luncur. (Foto ihsan individu yang diwawancara)

Foto 2: Li Weiwei, pembuat salji sedang memperbaiki sebuah mesin pembuat salji. (People’s Daily/Zhao Jingfeng)

Foto 3: Yao He (pertama dari kanan), seorang penyelamat ski dan rakan-rakannya sedang menyelamatkan seorang pemain ski. (Foto ihsan individu yang diwawancara)

Yu Chunsheng, 31, bertugas sebagai juruteknik penyelenggara papan luncur, dan sebelum ini telah berkerja di sebuah fasiliti pembaikpulih dan pemasangan kenderaan. Dia yang merupakan peminat ski itu telah menukar kerjayanya untuk menjadi juruteknik penyelenggara papan luncur pada sembilan tahun yang lalu.

Sama seperti Li, Yu juga kerap mendapatkan nasihat daripada peminat ski dan pemain ski yang sudah bersara ketika awal penglibatannya dalam bidang itu.

“Papan luncur kini sudah menjadi kawan baik saya!” ujar Yu, sambil memberitahu bahawa kerjanya itu memberikannya perasaan seperti mendapat satu pencapaian kerana ia bukan sahaja menolong untuk memberikan pengalaman lebih baik kepada pemain ski, tetapi juga mengurangkan risiko keselamatan.

Bagi Yao He, 32, ketua pasukan penyelamat ski di Peranginan Tasik Songhua di bandar Jilin, Provinsi Jilin dalam perkongsiannya menyatakan bahawa dia memilih kerjaya tersebut pada 2016 adalah kerana minat mendalam terhadap ski.

Dia berkata, pasukan penyelamat lebih profesional juga akan menjamin suasana yang lebih selamat buat peminat ski.

Menurut Yao, untuk sentiasa bersedia dalam mengendalikan kes kecemasan adalah sebahagian daripada tugas. Pada waktu malam, Yao dan pasukannya perlu memeriksa curam ski bagi pemain ski yang berbaki, mesin pembuat salji, jaring keselamatan dan peralatan lain.

Perakuan rasmi oleh Kementerian Sumber Manusia dan Keselamatan Sosial bahawa penyelamat ski sebagai kerjaya baharu telah memperkukuh identiti profesional Yao dan pasukannya.

“Kami sentiasa bersedia, tapi apa yang kami harapkan adalah agar semua orang kekal selamat,” kata Yao.

Video

Berita Berkaitan