- Lain-lain
AI Tawar Pengalaman Melancong Dengan Lebih Pintar
Bagi ramai pengembara, membuat pelan perjalanan adalah satu proses yang memakan masa dan memenatkan.
‘Kerja-kerja’ untuk membuat nota perjalanan media sosial, mendapatkan cadangan daripada pekerja agensi pelancongan, serta bertanyakan ‘amaran bendera merah’ daripada sahabat handai dan keluarga juga boleh menyumbang kepada maklumat yang terlalu sarat.
Justeru, adakah kecerdasan buatan (AI) mampu mengambil alih tugas untuk merancang perjalanan?
Mutakhir ini, ejen AI am pertama di dunia yang dibangunkan oleh syarikat China, Manus, telah dilancarkan dan mendapat perhatian dari segenap industri teknologi.
Menurut satu video demonstrasi, Manus boleh menghasilkan jadual perjalanan yang terperinci untuk pengembara yang gemar terhadap tapak-tapak bersejarah, lawatan mendaki, atau merancang untuk melamar semasa perjalanan mereka dengan menyediakan buku panduan perjalanan berserta peta, pengenalan satu-satu tarikan dan tip yang berguna.
‘Rakan perjalanan AI’ yang bijak semakin mudah diakses. Pada platform pelancongan pintar yang dilancarkan oleh Yangzhou, Provinsi Jiangsu di timur China, ciri seperti panduan pintar, perancangan jadual perjalanan dan pengalaman interaktif semuanya tersedia, sekali gus memenuhi keperluan perjalanan pelancong yang berbeza.
Selepas pengguna memasukkan maklumat seperti bilangan pengembara, tempoh perjalanan, anggaran perbelanjaan dan pilihan, platform ini boleh menyesuaikan jadual perjalanan yang diperibadikan untuk pengguna yang melancong di Yangzhou, bersama-sama dengan pautan pembelian tiket untuk tarikan yang berkaitan, secara tidak langsung mempermudahkan pelancong dengan signifikan.
Ramai pelancong kini menemui avatar digital yang didayakan AI. Di lebih 40,000 pusat perkhidmatan termasuk tarikan pelancong peringkat A, hotel dan kawasan komersial utama di Hangzhou, Provinsi Zhejiang, timur China, duta pelancongan digital "Hang Xiaoyi" antaranya menawarkan perkhidmatan panduan, pertanyaan prestasi, amaran untuk aliran orang ramai, dan tempahan tiket.
Baru-baru ini, "Hang Xiaoyi" mengintegrasikan model AI DeepSeek, dan menjadi lebih pintar dalam interaksi dan pertanyaan. Ia juga mampu menceritakan tentang budaya dan mencadangkan produk berkaitan pelancongan seperti pengalaman budaya teh dan perjalanan mempelajari puisi.
Foto fail menunjukkan seorang pelancong menggunakan duta pelancongan digital, "Hang Xiaoyi" di kawasan pemandangan Tasik Barat di Hangzhou, ibu kota Provinsi Zhejiang, timur China.
Bagi pemain industri, mereka berpendapat bahawa teknologi AI mempunyai kelebihan yang menakjubkan dalam mengenal pasti pilihan pelancong secara tepat. Integrasi AI dengan pelancongan dikatakan membolehkan lebih ramai pengembara dapat mengalami perjalanan yang diperibadikan.
Selain bertindak sebagai ‘pembantu pintar’ bagi pelancong, AI juga mendorong transformasi dan penaiktarafan industri pelancongan. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, perusahaan pelancongan telah memperkenalkan teknologi AI dan model besar kegunaan awam yang disepadukan, sekali gus menawarkan perkhidmatan pelancongan berkualiti tinggi, menambah baik peruntukkan sumber dan kecekapan pengurusan pengoperasian.
Sebagai sebahagian penting dalam industri pelancongan, hotel juga semakin ‘pintar’ dengan wujudnya elemen AI, Internet Kebendaan (IoT) dan teknologi lain. Data menunjukkan bahawa jumlah hotel pintar di serata China bertumbuh pada kadar 10-15 peratus tahun demi tahun.
Memakai set kepala realiti terimbuh (VR) sambil memegang alat kawalan, para pelawat di pameran digital imersif Groto Mogao, iaitu Tapak Warisan Dunia UNESCO di Dunhuang, Provinsi Gansu, boleh menerokai pembinaan semula digital Gua 285 di groto itu, mengagumi mural secara dekat dan berdefinisi tinggi dan berinteraksi dengan lukisan figura pada mural.
Foto seorang pengunjung menggunakan peralatan realiti terimbuh di pameran digital imersif Groto Mogao, iaitu Tapak Warisan Dunia UNESCO di Dunhuang, Provinsi Gansu. (Xinhua/Lang Bingbing)
Melalui integrasi mendalam budaya dan teknologi, budaya Dunhuang yang mendalam dapat dipersembahkan kepada pengunjung dengan cara yang lebih mengasyikkan dan interaktif. Ia juga secara tidak langsung menambah baik rasa ingin berhubung dalam kalangan pengunjung terhadap warisan budaya Dunhuang.
Ibarat serampang dua mata, pendekatan tersebut juga memenuhi keperluan sosial pelancong untuk berkongsi pengalaman perjalanan masing-masing, serta mewujudkan laluan baharu buat pengintegrasian pelancongan-budaya Dunhuang, penghebahan budaya, dan pemeliharaan.
- China Berusaha Membangunkan Robot Pintar
- China Maju dalam Pasaran Produk AI untuk Kegunaan Binatang Kesayangan
- Kerajaan Tempatan Guna DeepSeek, Kenal Pasti Risiko Isi Rumah Berkemungkinan Kembali Menjadi Miskin
- Sensasi Terkini AI Jadi Topik Perbualan di Merata Tempat di China
- China, Laos Bina Pusat Kerjasama Inovasi AI
- AI Ubah Landskap Pembelajaran, Galakkan Pendekatan Inovatif
- China Bertindak Pantas Tambah Baik Tadbir Urus Global Berdasarkan Penggunaan AI
- China Bersedia Tingkatkan Kerjasama dengan Pelbagai Pihak dalam Bidang AI
- Sidang Kemuncak Tindakan AI Buka Tirai di Paris
- Sekilas Teknologi AI yang Dipamerkan pada CIIE ke-7