Peranti ‘Robot Pembantu Berjalan’ Sasar Pasaran Warga Emas

Peranti ‘Robot Pembantu Berjalan’ Sasar Pasaran Warga Emas
Foto seorang warga emas memakai peranti pembantu untuk berjalan di sebuah pasar di Hangzhou, Provinsi Zhejiang, timur China, 24 Februari 2025. (RoboCT/melalui Xinhua)

Pada suatu ketika dahulu, fiksyen sains organisma sibernetik atau dikenali sebagai ‘cyborg’ pernah menjadi simbol keupayaan sangat luar biasa. Kini, ia memperkukuh revolusi penjagaan warga emas di China, yang juga selari dengan kebangkitan ekonomi perak di negara itu.

Sebuah peranti pembantu berjalan yang direka oleh RoboCT, iaitu syarikat pemula yang bertapak di Hangzhou di Provinsi Zhejiang, timur China, telah menjadikan aktiviti memanjat lebih mudah buat warga emas, dengan balas balikan berat lima botol air dengan setiap langkah.

RoboCT merancang untuk melancarkan inovasi terkininya pada penghujung bulan ini dengan harga berpatutan sebanyak RMB2,000 (sekitar AS$276). Di hab teknologi bahagian timur China, banyak firma seperti RoboCT yang sedang membangunkan robot dengan tujuan untuk membantu pergerakan golongan tersebut.

Bagi jurutera di RoboCT, mereka menyedari bahawa ramai warga emas yang berjalan membongkok, berlangkah kecil dan menggunakan pendakap pinggang di rumah orang tua. Justeru, mereka memfokuskan usaha untuk menghasilkan peranti yang membantu bahagian pinggang, belakang dan pinggul.

Diinspirasikan oleh mekanik tendon, peranti tanpa bateri yang seberat 2 kilogram itu dipakai di bahagian pinggul dan di atas lutut. Ia akan mendapatkan dan menyimpan sebahagian tenaga yang dijana oleh badan, sebelum menyalurkannya semula ketika berjalan.

"Robot rangka luar membantu warga emas yang mempunyai otot lebih lemah, meningkatkan pergerakan melalui pemampatan dan pelepasan daya, kelajuan putaran dan pelarasan sudut," kata Yan, pengarah produk di RoboCT ketika diwawancara Xinhua.

Malah, golongan muda yang cergas secara fizikal juga boleh mendapat bantuan 30 peratus apabila memakainya.

"Robot rangka luar China, yang dijangka untuk menyaksikan pertumbuhan ketara dalam bidang penjagaan warga emas, telah menguasai teknologi utama seperti reka bentuk ergonomik, pengecaman gerakan dan AI pembelajaran kendiri yang memperkemas corak pergerakan secara dinamik," kata Chen Zhiran, pengarah Pejabat Penyelidikan Ekonomi Digital di Institut Pembangunan dan Perancangan Zhejiang.

Data terkini menunjukkan bahawa menjelang akhir tahun 2024, penduduk China yang berumur 60 tahun ke atas telah mencecah 310 juta, iaitu mencakupi kira-kira 22 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduknya.

Ketika ini, angka firma China yang merebut peluang perniagaan susulan daripada pertambahan populasi menua juga turut sama meningkat. Ekonomi perak negara di China muncul sebagai pemacu pertumbuhan utama, dan kini dinilai mencecah RMB7 trilion.

Menurut tinjauan daripada penyedia analisis data iiMedia Research, ekonomi perak China dijangka mencapai skala RMB30 trilion menjelang 2035.

Berpandukan cadangan China, Suruhanjaya Elektroteknikal Antarabangsa juga telah mengeluarkan piawaian global untuk robot penjagaan warga emas.

Untuk memanfaatkan ekonomi perak yang semakin berkembang, firma teknologi sedang belajar untuk menumpukan pada menyelesaikan cabaran sebenar pengguna warga emas sambil mengaplikasikan teknologi termaju.

Direka untuk kemudahan warga tua, peranti bantuan berjalan RoboCT mengambil masa hanya 20 saat untuk dipakai dan tidak memerlukan operasi telefon pintar.

Firma itu juga merancang untuk melancarkan versi tersuai peranti ini untuk pesakit hemiplegia dan pesakit kecederaan saraf tunjang.

Video

Berita Berkaitan