- Lain-lain
Jilin Ubah Tempat Peranginan Ski, Jadi Destinasi Sepanjang Tahun
Meskipun baru pukul 10 pagi, Peranginan Ski Beidahu di zon rintis yang menampilkan pembangunan ekonomi ais dan salji berkualiti tinggi di Provinsi Jilin telah meriah dengan aktiviti. Statistik masa nyata menunjukkan bahawa terdapat 4,700 pengunjung sedang berski menuruni cerun.
“Inilah yang kami panggil sebagai ‘ski musim bunga’ – Mac merupakan waktu kemuncak dengan cuaca beransur hangat serta salji lembut, sekali gus memberikan pengalaman ski yang optimum,” ujar Yan Shuai, pengarah pemasaran Peranginan Ski Beidahu.
Difahamkan, pusat peranginan tersebut menampilkan 74 cerun ski, dengan terdapat lebih daripada 300 atlet profesional yang berlatih di situ pada setiap hari. Ketika waktu puncak, hampir 15,000 yang bermain di peranginan itu. Untuk musim salji 2024-2025 dari November hingga April, peranginan tersebut mengunjur untuk menerima lebih daripada 1 juta pelancong, dan menjana pendapatan pelancongan bernilai RMB550 juta (AS$75.88 juta).
Dengan berpakaian tradisional China berwarna merah, Wang Weiqi, jurutera berumur 39 tahun, telah datang dari Fushun di Provinsi Liaoning ke peranginan itu bersama-sama dengan lebih daripada 10 orang rakan. Ketika mengulas mengenai pemilihan fesyennya, dia telah menyatakan kecintaannya terhadap elemen budaya Cina, dan bermain ski sambil mengenakan pakaian itu dilihat sebagai satu trend yang besar.
Semasa musim salji 2024-2025, perangan ski di bandar Jilin telah menyaksikan gelombang ‘guochao’, iaitu trend fesyen yang menggabungkan reka bentuk moden dengan elemen kebudayaan China tradisional. Malah, ramai pengunjung juga tertarik dengan mekap Peking Opera dan pakaian merah pemain ski.
Pengunjung di seluruh China turut mendapati peningkatan kewujudan elemen kebudayaan China di sepanjang musim ski di bandar Jilin. Selepas menuruni cerun, pelancong boleh mencuba teh ginseng dan terapi perubatan China tradisional seperti urut, ‘gua sha’, dan bekam. Menerusi peranginan ski tersebut, bandar Jilin telah memperlihatkan keunikan tarikan budaya tradisional China.
“Malah, kami turut membina pentas teater ais dan salji yang menyaksikan penonton muda berasa tertarik dengan pertunjukan Opera Peking,” kata Yan.
Foto 1: Pemain ski sedang beraksi semasa aktiviti ais dan salji di Peranginan Tasik Songhua, iaitu sebuah peranginan ski peringkat kebangsaan di Provinsi Jilin, timur laut China. (Foto/Han Tao)
Foto 2: Wang Weiqi, penggemar ski yang mengenakan pakaian merah tradisional China, membuat gaya untuk bergambar di Peranginan Ski Beidahu di Provinsi Jilin, timur laut China. (People’s Daily Edisi Luar Negara/Meng Haiying)
Foto 3: Pemain ski menikmati kopi di sebuah peranginan ski di Provinsi Jilin, timur laut China. (People’s Daily Edisi Luar Negara/Meng Haiying)
Foto 4: Pemain ski yang berpakaian tradisional China kelihatan asyik bermain sukan itu di Provinsi Jilin, timur laut China. (Foto/Li Yang)
Pada musim salji ini, bandar Jilin telah menggabungkan aktiviti ais dan salji dengan opera tradisional, menjadikan peranginan ski itu sebagai pameran kebudayaan serta menambah baik pengalaman melancong pada musim sejuk pengunjung.
Bandar Jilin yang sinonim sebagai ‘kampung halaman kedua’ Opera Peking, telah menghidupkan semula warisan kebudayaan tidak ketara menerusi pelbagai inisiatif.
Peranginan Ski Beidahu, iaitu kawasan ski terbesar di Asia juga telah menganjurkan banyak acara berprestij, termasuk Sukan Asia Musim Sejuk ke-6 dan beberapa pertandingan Piala Dunia.
Tidak ramai yang menyedari bahawa Peranginan Ski Beidahu mempunyai keindahan yang menakjubkan sepanjang tahun, dengan kehadiran musim panas yang sangat berbeza, tetapi mempunyai landskap sangat menarik. Cerun ski akan menjadi laluan yang dihiasi dengan pelbagai jenis bunga yang bermekaran.
Pada musim panas, peranginan itu akan berubah kepada syurga khayalan yang sejuk dengan suhu purata sekitar 22 darjah Celsius, sekali gus menjadikan ia sebagai destinasi menarik dan sangat mahu dikunjungi.
Timbalan pengarah jawatankuasa pengurusan zon rintis bandar Jilin, Li Du berkata bahawa peranginan itu berubah menjadi peranginan ski sepanjang tahun, dengan menampilkan pembangunan ekonomi ais dan salji yang berkualiti tinggi.
“Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, kami telah membangunkan satu siri projek pelancongan,” kata Yan. Ia termasuk denai kembara di pergunungan, gokart, berkhemah, dan tapak khemah RV. Peranginan itu juga telah menganjurkan aktiviti kebudayaan bertemakan musim panas, dan merancang untuk mengadakan acara seperti pertandingan Opera Peking amatur dan pertunjukan Opera Jilin.
“Sejak penubuhan zon rintis yang menampilkan pembangunan berkualiti tinggi ekonomi ais dan salji pada 2021, kami telah mempromosi wacana harmoni musim panas dan pelancongan musim sejuk, dengan ekonomi ais dan salji terus berkembang maju,” ujar Yu Yueyang, ketua jawatankuasa kerja Parti di zon rintis itu.
Beliau menambah bahawa Peranginan Ski Beidahu dan Peranginan Tasik Songhua di zon rintis tersebut merupakan antara kumpulan pertama peranginan ski yang bertaraf kebangsaan.
Kata Yan, Peranginan Ski Beidahu kini mempunyai lebih 50 jurufoto ski, termasuk profesional dan petani yang berubah kerjaya menjadi jurugambar.
Peningkatan jurufoto ski telah mendorong industri yang berkaitan seperti sewa peralatan fotografi dan percetakan foto, sekali gus mencipta banyak pekerjaan dan menambah pendapatan ekonomi buat kawasan tersebut.
Ledakan ais dan salji telah menghidupkan kembali banyak perniagaan, yang menyumbang kepada pembangunan kampung di sekitar, sambil menambah pendapatan masyarakat tempatan. Yang Baoqing, penduduk di kampung Nangou yang tidak jauh dari situ turut mengimbas kembali hotel inap desanya yang dahulunya mempunyai tiga bilik sahaja pada 15 tahun dahulu dan kini mempunyai lebih 50 buah.
“Bandar Jilin terletak di ‘jalur salji serbuk keemasan dunia’ dengan sumber salji yang banyak. Ia menempatkan satu-satunya zon rintis bertaraf provinsi di China yang menampilkan pembangunan berkualiti tinggi ekonomi ais dan salji,” kata Hu Bin, ketua Parti di andar itu.
“Ketika ini kami sedang merancang dan membina taman perindustrian peralatan ais dan salji berpiawaian tinggi,” kata beliau.
- Kemunculan Kerjaya Baharu Permudah Pembangunan Sukan Ais dan Salji
- Tinjauan CGTN: Ekonomi Ais dan Salji Jadi Pemacu Baharu Ekonomi China
- Perkembangan Pesat Industri Ais dan Salji Cipta Peluang Pekerjaan Baharu di China
- Pelancong Asing Hayati Ais, Salji di Timur Laut China
- Dihiasi Raim, Gunung di Jilin Umpama Alam Ajaib
- Beijing Bersedia untuk Keseronokan Musim Sejuk
- Obor, Pingat, Lagu Sukan Musim Sejuk Asia Diumumkan
- Anjak Sukan Kegemaran Jadi Kerjaya
- Sukan Musim Sejuk Kebangsaan ke-14 Dirasmikan
- Pusat Beli-belah Changchun Buat Naga Guna Ribuan Belon