Pembaikpulihan Tasik Donting Selatan Perkukuh Pembangunan Tempatan

Tatkala matahari mulai terbenam, Ding Huimin, 29, mula menghidangkan teh buat pelanggan di bistro tepi sungainya iaitu Bar Muzik Desa Youdu, yang terletak di kampung Xiaohezui, Provinsi Hunan di tengah China.

Ketika itu, segenap ruang udara dipenuhi dengan melodi rakyat, yang disulami dengan ciapan burung yang sayup-sayup. Suasana penuh harmoni tersebut – yang dahulunya tidak pernah terjangka untuk terjadi, akhirnya dapat dirasai dalam denyut nadi rakyat tempatan.

Perjalanan baharu anak nelayan

“Ketika membesar, hari-hari saya bermula dengan bau jaring ikan,” cerita Ding semasa mengimbau semula tentang kebergantungan keluarganya terhadap aktiviti perikanan di perairan itu pada suatu ketika dahulu.

Ding Huimin menghidangkan teh kepada tetamunya di Bar Muzik Desa Youdu, kampung Xiaohezui, daerah kecil Qionghu di bandar Yuanjiang, Provinsi Hunan, tengah China. (Foto/ADB)

Ding Huimin menghidangkan teh kepada tetamunya di Bar Muzik Desa Youdu, kampung Xiaohezui, daerah kecil Qionghu di bandar Yuanjiang, Provinsi Hunan, tengah China. (Foto/ADB)

Seperti penduduk lain di kampung Xiaohezui – iaitu sebahagian daripada daerah kecil Qionghu di bandar Yuanjiang yang terletak di dalam kawasan projek pembaikpulihan tanah paya Tasik Dongting Selatan, perjalanan Ding mencerminkan usaha China untuk mengimbangi antara pembaharuan ekologi dengan pemulihan semula luar bandar.

Larangan aktiviti perikanan Yangtze pada tahun 2020 telah mengakibatkan perubahan drastik bagi komuniti tempatan yang bergantung harap terhadap aktiviti itu untuk mencari rezeki.

Foto memperlihatkan burung-burung di kampung Xiaohezui di kampung Xiaohezui, daerah kecil Qionghu di bandar Yuanjiang, Provinsi Hunan, tengah China. (People’s Daily Online/Zhong Wenxing)

Foto memperlihatkan burung-burung di kampung Xiaohezui di kampung Xiaohezui, daerah kecil Qionghu di bandar Yuanjiang, Provinsi Hunan, tengah China. (People’s Daily Online/Zhong Wenxing)

Bagi kedua-dua ibu bapa Ding yang merupakan nelayan, perubahan tersebut adalah cabaran yang sukar.

“Kami takut apabila ada kemungkinan untuk kehilangan mata pencarian, dan terdapat ramai orang yang tidak berpuas hati ketika itu,” kata wanita itu.

Namun demikian, dengan persekitaran ekologi di kampung itu yang semakin baik, bekas kampung nelayan itu telah berubah menjadi sebuah hab kebudayaan dan pelancongan.

Subsidi dan latihan vokasional yang diberikan oleh kerajaan menyaksikan bekas nelayan berjaya melalui peralihan, dengan mendapat punca rezeki baharu seperti menjadi pengusaha pelancongan, mengusahakan rumah ladang, menyertai dalam projek-projek kampung.

Menceritakan lebih lanjut tentang perniagaannya, Ding berkata dia memulakan bistronya pada tiga tahun yang lalu dengan pembiayaan perniagaan – yang hampir dilangsaikan susulan kejayaannya dalam pengurusan. Dia mempunyai 10 orang pekerja, dan turut menjual produk pertanian daripada ladang-ladang berdekatan.

Pada hujung minggu pula, bistro Ding secara konsisten dipenuhi pelanggan, dengan menarik lebih daripada 200 pengunjung yang datang untuk melihat ekosistem tanah paya yang dibaikpulih, di samping menikmati pertunjukan langsung.

Gabungan dasar dan teknologi

Tasik Dongting – tasik air tawar kedua terbesar di China – memainkan peranan penting dalam menyelia dan menyimpan air dari Sungai Yangtze dan sungai-sungai di Hunan. Di bahagian barat dayanya, Rizab Alam Semula Jadi Tasik Dongting Selatan telah dibina pada kawasan seluas 80,100 hektar untuk melindungi ekosistem tanah paya yang kompleks, termasuk tasik, sungai, dan habitat buat hidupan liar terancam dan jarang ditemui.

Hampir kesemua kawasan teras rizab iaitu sebanyak 88 peratus terletak dalam bandar Yuanjiang.

Xia Xin, naib eksekutif datuk bandar Yuanjiang telah menggariskan tiga dasar utama iaitu menambah baik mekanisme pampasan ekologi yang memerlukan pihak pemaju untuk melaksanakan pemuliharaan biodiversiti, pampasan, dan langkah pembaikpulihan buat semua projek berkait tanah paya; mewajibkan pemulihan habitat yang setara untuk sebarang pencerobohan tanah lembap; dan menyenaraikan aktiviti yang sama sekali dilarang memudaratkan tanah lembap.

Ketika diwawancara People’s Daily Online, Xia berkata bahawa pihak berkuasa tempatan telah membentuk satu pasukan petugas bersama yang mengintegrasikan agensi pertanian, perhutanan, tanah paya dan alam sekitar, dalam usaha untuk menangani isu tanah paya.

Foto memaparkan sekawan swan di Rizab Alam Semula Jadi Tasik Dongting Selatan di bandar Yuanjiang di Provinsi Hunan, tengah China. (Gambar ihsan Rizab Alam Semula Jadi Tasik Dongting Selatan)

Foto memaparkan sekawan swan di Rizab Alam Semula Jadi Tasik Dongting Selatan di bandar Yuanjiang di Provinsi Hunan, tengah China. (Gambar ihsan Rizab Alam Semula Jadi Tasik Dongting Selatan)

Satu platform pengurusan pintar yang menggunakan data raya dan penderiaan jauh untuk mengawasi tanah paya dalam masa nyata.

“Bantuan teknologi telah menjamin bahawa tiada kawasan yang tidak dilindungi,” tambah Xia.

Wang Long, pengurus pejabat Biro Pengurusan Yuanjiang di Rizab Alam Semula Jadi Tasik Dongting Selatan melaporkan bahawa populasi burung hijrah di tasik itu meningkat hampir empat kali ganda daripada 30,000 pada 2018, kepada 123,000 pada tahun 2024. Untuk tahun ini, lebih daripada 120,000 burung hijrah telah direkodkan, sekali gus memberikan indikator kuat terhadap pemulihan tasik itu.

Li Jianzhi, presiden Persatuan Sukarelawan Perlindungan Alam Sekitar Yuanjiang diwawancara pada 21 Mac 2025. (Foto/ADB)

Li Jianzhi, presiden Persatuan Sukarelawan Perlindungan Alam Sekitar Yuanjiang diwawancara pada 21 Mac 2025. (Foto/ADB)

Penyokong pemuliharaan tempatan seperti Li Jianzhi, presiden Persatuan Sukarelawan Perlindungan Alam Sekitar Yuanjiang telah mendokumentasikan kebangkitan semula tasik itu.

“Pada 2023, saya merakamkan gambar sembilan spesies burung baharu di sini,” ujar Li dalam perkongsiannya.

Beliau juga merupakan penulis ‘Burung-burung di Tasik Dongting’, buku yang memperkenalkan lebih 300 spesies burung yang ditemui di sekitar tasik itu. Pada September 2024, beliau telah menemui sekendi berkilat yang terancam, iaitu yang pertama di wilayah itu.

Kerjasama global untuk pemulihan tanah lembap

Kesemua inovasi terkini berjaya menarik tumpuan global – termasuk dari segi pendanaan. Pemulihan tanah paya Tasik Donting Selatan dan projek pembangunan mampan telah mencuri perhatian rakan kongsi global.

Pada 21 Mac 2025, satu upacara permulaan projek pinjaman Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Agensi Pembangunan Perancis (AFD) telah diadakan di Yuangjiang. Ia termasuk AS$150 juta pinjaman ADB serta AS$65 juta daripada AFD.

Scott Morris (tengah), Naib Presiden ADB, melawat tapak demonstrasi pemulihan ekologi tanah paya di Yuanjiang, Provinsi Hunan, tengah China pada 21 Mac 2025. (Foto/ADB)

Scott Morris (tengah), Naib Presiden ADB, melawat tapak demonstrasi pemulihan ekologi tanah paya di Yuanjiang, Provinsi Hunan, tengah China pada 21 Mac 2025. (Foto/ADB)

Difahamkan, ADB mengenal pasti projek itu sebagai pelaburan terbaik pertama di bawah Regional Flyways Initiative (RFI). Naib Presidennya, Scott Morris telah menekankan tentang potensi RFI untuk mewujudkan duluan bagi mengimbangi pemuliharaan ekologi dan pertumbuhan ekonomi di lebih 20 negara Asia Pasifik.

Untuk rekod, inisiatif tersebut dilancarkan pada Forum Peradaban Ekologi di Persidangan Pihak-pihak Konvensyen Kepelbagaian Biologi (COP15) di Kunming, Provinsi Yunnan, barat daya China pada 2021.

Morris turut menyatakan bahawa Tasik Dongting Selatan yang merupakan habitat penting bagi burung hijrah dan spesies terancam itu telah menunjukkan kemajuan dalam pemulihan ekosistem, termasuk pertambahan biodiversiti burung, ikan dan tanaman.

“Projek ini adalah contoh nyata bagaimana perlindungan tanah paya dapat hidup bersama dengan pembangunan manusia,” tambah beliau, sambil menekankan tentang peranan projek itu sebagai model yang boleh dicontohi bagi wilayah-wilayah lain.

“Dengan membuktikan bahawa penjagaan alam sekitar memberi manfaat kepada mata pencarian, kami menyelaraskan komuniti tempatan dengan matlamat ekologi jangka panjang,” jelas Morris.

China dipilih sebagai tapak pelancaran inisiatif kerana kapasiti tinggi, keupayaan teknikal dan komitmen kewangan rakan kongsi tempatan.

“Keupayaan China untuk menyampaikan hasil yang cepat dan boleh dilihat membolehkan kami menskalakan model ini dengan yakin kepada negara lain,” kata Morris.

Foto menunjukkan Tasik Hulu di Rizab Alam Semula Jadi Tasik Dongting Selatan, di bandar Yuanjiang, Provinsi Hunan, tengah China. (Foto/ADB)

Foto menunjukkan Tasik Hulu di Rizab Alam Semula Jadi Tasik Dongting Selatan, di bandar Yuanjiang, Provinsi Hunan, tengah China. (Foto/ADB)

Tatkala menjelang senja di tasik, Ding bersiap untuk satu lagi malam yang meriah di bistronya. Di atas, burung meluncur ke arah paya yang dipulihkan.

Di sini, setiap kicauan burung memberi pengajaran bahawa, ‘Apabila alam hidup subur, manusia juga akan begitu sama’.

Video

Berita Berkaitan