- Lain-lain
Kembali ke Tapak Kawat Maut Sandakan

Tugu granit hitam di Taman Peringatan Sandakan. (People's Daily/Bai Yuanqi)
Setiap tahun sejak siap dibina pada 1999, Taman Peringatan Sandakan telah menganjurkan pelbagai upacara pada Hari ANZAC 25 April dan Hari Peringatan Sandakan 15 Ogos, bagi mengenang tawanan perang yang terkorban di sini lebih 80 tahun lalu.
Memetik pengurus tapak, “Wakil dari Malaysia, Australia dan Britain, serta anak cucu tawanan datang dari jauh untuk pertemuan penuh emosi, berkongsi kedukaan bersama orang tempatan dalam suasana yang cukup menyentuh perasaan.”

Pelawat membaca pengenalan tentang Taman Peringatan Sandakan. (People's Daily/Bai Yuanqi)
Pada Perang Dunia II, lebih 2,700 tawanan perang dari Australia dan Britain diangkut oleh tentera Jepun ke Sandakan, dijadikan buruh paksa dan diseksa. Pada awal 1945, selepas satu demi satu kempen kuasa Perikatan mulai membuahkan kemenangan, tentera Jepun membawa lari kebanyakan tawanan masuk ke hutan dan memaksa mereka berkawat lebih 260 kilometer. Hanya enam yang terselamat dalam peristiwa berdarah yang dikenali sebagai “Kawat Maut Sandakan” ini.
Untuk mengawal orang tawanan, tentera Jepun mencipta cara penyeksaan yang dipanggil “kurungan”, iaitu sebuah kotak kayu sempit yang dipasang pada pancang, dipagari kepingan papan beberapa sentimeter lebar, dengan ketinggian tidak sampai satu meter. Individu yang dikurung tidak boleh berdiri atau merenggangkan badan, terpaksa meringkuk menahan matahari dan hujan.
Menurut bahan pameran, Prebet Keith Botterill, seorang askar berusia 19 tahun, diseksa dalam keadaan ini selama 40 hari:
“Seramai 17 orang dimasukkan dalam kurungan. Pada tiga hari pertama, kami tidak diberi air dan dipaksa minum air kotor sehingga muntah. Pada tujuh hari pertama, kami tidak diberi makan dan tidak dibenarkan bercakap. Setiap malam, kami dipukul dengan alasan ‘latihan fizikal’. Setiap kali tukang masak mencampak makanan ke dalam palung untuk anjing, kami pun akan berebut makan.”

Tinggalan mesin pengorek di Taman Peringatan Sandakan. (People's Daily/Bai Yuanqi)
Pada separuh pertama 1945, demi menghalang usaha penyelamatan oleh kuasa Perikatan, tentera Jepun membahagikan tawanan kepada tiga kumpulan dan memindahkan mereka ke Ranau di Barat.
“Pemindahan strategik ini sebenarnya pembunuhan beramai-ramai yang dirancang,” jelas seorang pemandu lawatan.
Tawanan perang mengangkut beras dan peralatan milik tentera Jepun; berkaki ayam mengharung akar kayu, batu dan paya; menahan kelaparan. Lintah sebesar pensel dan nyamuk pembawa malaria menghurung mereka, dan askar Jepun menghalau dari belakang dengan bayonet.
Menurut testimoni Prebet Keith Botterill, “Semasa berkawat, kami kerap melihat rakan seperjuangan jatuh dan dibunuh. Udara dipenuhi bau busuk dari mayat mangsa.”
Pada 29 Mei 1945, kumpulan kedua seramai 500 tawanan mula berkawat. Menderita sekian lama akibat kelaparan dan penyakit, mereka ini sangat lemah. Malaria, disentri dan penyakit kulit merebak sesama mereka.
Sejarawan, Lynette Silver berkata, “Ramai tawanan perang mengalami ulser begitu teruk hinggakan tulang kering mereka kelihatan, namun mereka terpaksa terus berkawat.”
Di hujung kawat maut ini, tentera Jepun sudah tiada lagi perikemanusiaan. Mereka membakar kebanyakan kem dan meninggalkan hampir 300 tawanan yang sakit tenat dan tidak mampu berjalan terbiar dalam hutan belantara.
Pada 9 Jun 1945, kumpulan terakhir kira-kira 70 orang tawanan dipaksa berkawat, dan kali ini, tiada seorang pun yang sampai ke destinasi.
“Semasa berkawat, enam tawanan berjaya diselamatkan dengan bantuan orang tempatan,” maklum pemandu lawatan lagi. “Masyarakat antarabangsa perlu menghadapi fakta Perang Dunia II yang ditulis dengan darah.”

Tugu Peringatan Martir Perantau China di kawasan pusat bandar Sandakan. (People's Daily/Bai Yuanqi)
Di sebelah utara Taman Peringatan Sandakan, terdapat platform berbentuk bulat dengan sebuah tugu granit hitam di tengah-tengah. Pada tugu itu terukir bunga raya Malaysia, bunga waratah Australia dan bunga ros British. Tiga bunga ini berjalinan, melambangkan memori yang dikongsi oleh bangsa-bangsa berbeza yang bersama-sama menentang Jepun.
David Lisson, anak cucu tawanan perang, menulis di laman sesawang taman tersebut bahawa, “Memorial ini bukan sahaja milik tawanan perang yang tidak dapat pulang, tetapi juga penduduk Sandakan yang mempertaruhkan nyawa untuk membantu. Ini satu ingatan yang sangat penting dalam sejarah.”
- Ribuan Penduduk Jepun Berhimpun, Bantah Cadangan Kerajaan Pinda Perlembagaan
- Jepun Perlu Putuskan Hubungannya dengan Militarisme
- Tinjauan Umum Jepun: Lebih Separuh Responden Bantah Pelonggaran Sekatan Eksport Senjata Berbahaya
- Cubaan Jepun Dorong 'Penenteraan Semula' Tidak Dapat Sokongan: MFA
- Rakyat Jepun Protes Tindakan Berbahaya Pentadbiran Takaichi
- Tribunal Tokyo Penting Bagi Manusia Sejagat, Jepun Perlu Ambil Iktibar dari Sejarah
- China Kecam Tindakan Jepun Berkaitan Yasukuni Jinja
- Masyarakat Antarabangsa Perlu Waspada terhadap Militarisme Model Baharu Jepun
- Dasar Kerajaan Jepun Dikritik, Bantahan Awam Terus Memuncak
- Rakyat Jepun Bantah Tindakan Kerajaan Longgar Eksport Senjata




