Pelancongan Ais dan Salji Musim Sejuk China Dijangka Capai 520 Juta Perjalanan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 24 Januari 2025

Foto yang diambil menggunakan dron ini memaparkan pemandangan Dunia Ais dan Salji di Harbin, Provinsi Heilongjiang di timur laut China pada 21 Disember 2024. (Xinhua/Wang Song)

Foto yang diambil menggunakan dron ini memaparkan pemandangan Dunia Ais dan Salji di Harbin, Provinsi Heilongjiang di timur laut China pada 21 Disember 2024. (Xinhua/Wang Song)

Akademi Pelancongan China dalam satu laporannya mengunjurkan bahawa perjalanan pelancongan berkaitan ais dan salji yang akan dibuat oleh pengunjung di China untuk tahun 2024-2025 akan mencecah 520 juta, dengan pulangan pelancongan dijangka melepas angka RMB630 bilion.

Di Changchun, ibi kota Provinsi Hilin di timur laut China telah melancarkan lebih 300 aktiviti bertemakan ais dan salji pada musim sejuk ini seperti sukan musim sejuk, perjalanan pendidikan, dan perdagangan.

Menurut wakil Biro Pelancongan, Televisyen, Radio dan Kebudayaan Perbandaran Changchun, kesemua aktiviti tersebut direka untuk mendorong pelancongan musim sejuk, menerusi penggabungan ais dan salji dengan sukan, budaya dan perdagangan.

Felow penyelidik madya di Akademi Pelancongan China, Han Yuanjun menyatakan bahawa pasaran ais dan salji China memperlihatkan daya hidup yang belum pernah berlaku, serta memasuki fasa pembangunan baharu – didorong oleh permintaan besar daripada pasaran, sokongan dasar yang kuat, dan bekalan produk berkualiti tinggi.

Lonjakan pelancongan ais dan salji turut dicerminkan menerusi data pelbagai platform, dengan gergasi perkhidmatan atas permintaan China, Meituan memaklumkan bahawa volum carian untuk aktiviti ski telah meningkat sebanyak 83 peratus dari bulan ke bulan sejak November 2024.

Hasil tinjauan yang dilakukan oleh Akademi Pelancongan China turut mengumumkan rekod baharu dalam minat terhadap ais dan salji, dengan 71.2 peratus pelancong merancang untuk mencuba aktiviti ais dan salji pada musim sejuk 2024-2025, 45.5 peratus pelancong mempertimbang untuk melakukan perjalanan jarak jauh untuk aktiviti ais dan salji, sementara 64.2 peratus berhasrat untuk mengekalkan atau mempertingkat perbelanjaan mereka dalam aktiviti ais dan salji.

Dengan ledakan pelancongan ais dan salji, ia secara tidak langsung mewujudkan kesan limpahan yang mendorong pembangunan industri yang berkaitan seperti inap desa, restoran dan penjualan produk istimewa tempatan.

Lapor tinjauan Akademi Pelancongan China lagi, perbelanjaan per kapita pelancong China pada pelancongan ais dan salji telah mencapai RMB1,220 semasa musim sejuk yang lalu, iaitu 22 peratus lebih tinggi daripada penggunaan pelancongan domestik per kapita berbanding tahun 2023.

Sebagai contoh, di Shenyang, ibu kota Provinsi Liaoning menyaksikan tempahan hotel meningkat sebanyaj hampir 20 peratus.

Pada masa sama, pasaran peralatan sukan ais dan salji turut berkembang, apabila data daripada platform e-dagang gergasi China, JD.com menunjukkan bahawa produk tongkat ski, gogal, but dan papan luncur salji telah melonjak lebih 80 peratus pada 2024, manakala penjualan papan ski dan sut ski naik lebih 50 peratus.

Video

Berita Berkaitan