Trump Tandatangani Perintah Kenakan "Tarif Timbal Balik" ke atas Rakan Dagangan

(CRI)Khamis 03 April 2025

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah menandatangani perintah eksekutif mengenai apa yang disebut sebagai "tarif timbal balik" di Rumah Putih semalam untuk mengumumkan AS akan mengenakan "tarif asas minimum" sebanyak 10% ke atas rakan dagangannya, dan tarif lebih tinggi ke atas beberapa rakan dagangan yang tertentu.

Menurut dokumen yang dikeluarkan oleh Rumah Putih, perintah tentang tarif tambahan sebanyak 10% ke atas semua rakan dagangan akan berkuat kuasa pada 5 April. Selain itu, Trump akan mengenakan "tarif timbal balik" yang berbeza dan lebih tinggi ke atas negara dan kawasan yang mempunyai lebihan dagangan terbesar dengan AS. Kesemua langkah itu akan berkuat kuasa mulai 9 April.

Dokumen tersebut juga mendedahkan bahawa Trump mempunyai "kuasa ubahsuai" untuk menaikkan atau mengurangkan tarif menurut keadaan yang berlainan.

Walaupun Trump mendakwa bahawa menaikkan tarif akan membantu meningkatkan pendapatan kerajaan AS dan memulihkan industri pembuatan negara itu, namun ahli ekonomi dan tokoh bidang perniagaan pula memberi amaran bahawa langkah-langkah tarif ini akan menaikkan harga sehingga merugikan kepentingan kalangan pengguna dan sektor korporat AS, di samping mencetuskan gangguan terhadap perdagangan global sehingga menjadikan pembangunan ekonomi terjejas di peringkat global.

Video

Berita Berkaitan