- Lain-lain
Kaunti Pingli Utamakan Pembangunan Hijau, Ekologi
Petani dan pelancong sedang memetik daun teh di kebun teh di kampung Jiangjiaping di kaunti Pingli, Provinsi Shaanxi, barat laut China. (Foto/Wang Tao)
Terletak di Provinsi Shaanxi, di barat laut China, kaunti Pingli merupakan pangkalan peringkat kebangsaan yang mengubah sumber-sumber semula jadinya kepada hasil ekonomi, serta telah memberi keutamaan terhadap pembangunan hijau dan ekologi.
“Lima tahun yang lalu, Setiausaha Agung Parti, Xi Jinping berdiri di hadapan kami di pokok ini, dan menunjukkan jari ke arah gunung hijau yang bertentangan dan berkata: ‘Jika kita tidak mengabaikan Alam Semula Jadi, Alam Semula Jadi tidak akan mengabaikan kita’,” ujar Luo Xianping, bekas ketua Parti kampung Jiangjiaping, kaunti Pingli.
Menurut Luo, dalam tempoh lima tahun yang lalu, kampung Jiangjiaping telah menaiktarafkan kebun teh menerusi kaedah seperti pemangkasan, merumput dan menggunakan baja organik, yang secara tidak langsung melindungi persekitaran ekologi dan meningkatkan pendapatan daripada jualan daun teh.
Beliau berkata, sebelum ini, daun teh musim bunga dijual pada harga lebih RMB1,200 (AS$164.19) sekilogram, tetapi kini telah melebihi RMB2,000 sekilogram.
Pada tahun-tahun terdahulu, kampung Jiangjiaping telah mendirikan syarikat teh untuk menaik taraf kebun teh lama dan membina kilang pemprosesan yang standard, dengan meliputi kawasan seluas 1,000 meter persegi, serta memiliki barisan penghasilan buat kedua-dua teh hitam dan hijau.
Dengan mengadaptasi model pembangunan yang menggabungkan syarikat, koperasi dan isi rumah petani, kampung itu telah membolehkan para penduduknya mendorong pendapatan menerusi rantai industri teh tersebut.
Hari ini, syarikat itu telah membangunkan produk-produk teh hitam baharu, sekali gus mengubah daun teh musim luruh dan musim panas kepada ‘aset yang berharga’.
“Kami secara konsisten mengikuti laluan yang mengutamakan pembangunan hijau dan ekologi; dengan mengubah kawasan teh kepada tempat pemandangan, kebun teh kepada taman-taman, dan gunung-ganang teh kepada ‘gunung emas’,” ujar Kou Qingxin, ketua Parti di kampung Jiangjiaping.
Petugas mengutip sampah di sebuah tasik di kauti Pingli, Provinsi Shaanxi, barat laut China. (People’s Daily Online/Shen Yijun)
Untuk rekod, kampung itu disenaraikan sebagai salah satu kampung santai paling cantik di China pada 2022, dan mendapat penarafan peringkat 4A dalam tarikan pelancong, secara tidak langsung menyaksikan pelancong tempatan mahupun luar berpusu-pusu ke situ.
Kampung Jiangjiaping adalah mikrokosma kepada kejayaan kaunti Pingli dalam menuju ke arah kemakmuran yang dibangunkan oleh industri teh tersebut. Selepas usaha selama 20 tahun, Pingli telah menjadikan sektor tehnya sebagai industri unik dan tonggak dalam memperkaya penduduk dan memperkuatkan kaunti.
Hari ini, Pingli dikenali sebagai kampung teh terkenal China dan satu jenama teh di kaunti kaunti yang diiktiraf sebagai petunjuk geografi peringkat kebangsaan.
Ketika ini, Pingli telah membina kebun teh seluas 200,000 mu (13,333 hektar) dan 50,000 mu ginseng lima daun, dengan hampir 100,000 individu yang terlibat dalam industri berkaitan.
Kaunti itu juga telah mencapai sasarannya untuk memastikan 1 mu kebun teh buat setiap orang, dan mengembangkan pendapatan buat setiap isi rumah secara puratanya lebih daripada RMB10,000.
Pada tahun-tahun mutakhir ini, kaunti Pingli telah meneruskan usaha memperbaiki perlindungan ekologi, dengan kadar liputan hutannya mencapai 71.5 peratus. Manakala, kualiti air keratan rentas keluar sungai-sungai di kaunti itu telah mencapai piawaian Aras II kebangsaan, iaitu yang kedua tertinggi dalam sistem ranking lima gred. Pada 2024, Pingli telah merekodkan 361 hari dengan kualti udara yang baik.
Tambahan lagi, kaunti itu secara aktif memajukan rawatan kumbahan tempatan luar bandar, melengkapkan penaiktarafan di 40 kampung, membina 44 fasiliti rawatan kumbahan domestik luar bandar, dan memasang 89.5 kilometer talian paip kumbahan sokongan.
Di Pingli, konsep peradaban ekologi semakin diterima secara meluas dalam kalangan penduduk tempatan.
“Kini, para penduduk ikhlas melindungi air jernih dan gunang-ganang nan hijau, sekali gus menjadikan kebun teh sepanjang zaman itu satu landskap yang cantik,” ujar Luo.
Pemandangan sudut udara kampung Longtou di kaunti Pingli di Provinsi Shaanxi, barat laut China. (Foto/Liu Wei)
“Dalam membangunkan industri, kami sentiasa meletakkan perlindungan ekologi sebagai keutamaan. Tidak kira berapa banyak keuntungan yang bakal didapati, kami tidak pernah mempertimbangkan industri yang akan menjejaskan persekitaran ekologi,” ujar Kou.
Kampung Longtou di kaunti Pingli juga merupakan antara kampung santai tercantik di China. Seorang penduduk kampung, Liu Zhongqing mengusahakan restoran berkonsepkan hiburan pertanian, mendapat manfaat daripada hasil perlindungan ekologi.
“Dahulu, kami bergantung kepada kerja jauh dari rumah untuk mendapatkan wang. Tetapi, kini para pelancong membanjiri di tempat ini, malah telur ayam ternak lepas menjadi komoditi yang hangat,” kata Liu.
“Dengan Pingli yang semakin cantik, aliran perniagaan di restoran hiburan pertanian saya sentiasa ditambah baik. Saya membina sebuah rumah baharu dan turut membeli kereta,” tambah Liu.
- Jana Impak Sosial untuk Penghijauan Tanah Air - Xi
- Pembaikpulihan Tasik Donting Selatan Perkukuh Pembangunan Tempatan
- Tampuk Kuasa China Bahaskan Peraturan Perlindungan Ekologi Alam
- Usaha Pemuliharaan Saksi Rusa Jepun Membiak Baik di Jiangxi
- Rizab Alam Semula Jadi untuk Burung Jenjang Leher Hitam Dipelihara Baik di Yunnan
- Langit Biru, Air Bersih: Komitmen China Terhadap Pembangunan Hijau
- Burung Hijrah Tiba di Rizab Alam Semula Jadi Kebangsaan Caohai
- Pelaksanaan Program Mitigasi Hakisan Tanah di China Holistik
- China Pendahulu Kapasiti Kawasan Tadahan Karbon untuk Hutan dan Padang Rumput
- Hari Ekologi Kebangsaan: Sekilas Pandang Panorama Alam Bak Lukisan China Nan Indah