China, Malaysia Terus Pertingkat Kerjasama Ekonomi Digital

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 18 April 2025

Presiden China, Xi Jinping pada Rabu telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim di Seri Perdana, Putrajaya, Malaysia.

Selepas rundingan, kedua-dua pihak mengeluarkan Kenyataan Bersama Antara Republik Rakyat China dan Malaysia mengenai Pembinaan Komuniti China-Malaysia Strategik Peringkat Tinggi yang Berkongsi Masa Depan.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk menjadi peneraju kerjasama serantau bagi tenaga produktif berkualiti baharu, menggalakkan pelaksanaan Pelan Kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang ditandatangani pada 2024 dan seterusnya mensinergikan strategi pembangunan.

Memfokuskan kepada empat bidang utama ekonomi digital, ekonomi hijau, ekonomi biru dan ekonomi pelancongan, kedua-dua pihak akan mengembangkan kerjasama ekonomi masa depan, menggalakkan pembangunan yang bersepadu, terselaras dan saling melengkapi, selain mencapai integrasi mendalam bagi rantaian perindustrian dan bekalan, rantaian nilai, rantaian data serta rantaian bakat, dalam usaha meningkatkan lagi tahap dan kualiti kerjasama China-Malaysia.

BRI mendukung prinsip perundingan yang meluas, serta sumbangan dan faedah bersama. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, China dan Malaysia konsisten membangunkan kerjasama dalam ekonomi digital, kecerdasan buatan, tenaga baharu dan bidang pertumbuhan baru muncul yang lain.

Pada masa sama, skop kerjasama ekonomi digital antara kedua-dua negara juga terus berkembang, sementara tahap kerjasama sentiasa bertambah baik.

Video

Berita Berkaitan