- Lain-lain
Ledakan Dagangan Durian Cermin Kerjasama Perdagangan Saling Menang China-Malaysia
Seorang pekerja Top Fruits Sdn Bhd., pembekal durian di Malaysia sedang menuai durian. (People’s Daily/Huan Xiang)
Di Raub, Pahang, aroma durian di udara jelas dapat dihidu khususnya pada bulan April ini. Dalam tempoh sekitar 90 hari, buah durian yang masak akan akan dibungkus dan dihantar ke seberang laut, seterusnya boleh didapati di pasaran China.
Sejak China membuka pintunya untuk durian sejuk beku Malaysia pada 2019, jualan buah tersebut telah melepasi buah ceri sebagai buah import paling laris dijual. Ledakan dalam selera telah merancakkan gelombang inovasi dan persahabatan yang lebih rapat antara kedua-dua negara.
Muhua Sdn. Bhd., syarikat dagangan Malaysia yang ditubuhkan pada 2021 turut merasai penangan gelombang durian. Namun, setelah mendalami perniagaan tersebut, Jiaqiang Wang selaku pengurus besar telah mendapati satu cabaran, iaitu pengredan kualiti durian yang sukar.
Semasa berlangsungnya Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) edisi keenam di Shanghai, mereka telah terinspirasi daripada idea pihak keselamatan dan pemeriksaan pembekal China, iaitu untuk menggunakan teknologi yang sama dalam mengimbas durian.
Pada tahun berikutnya, kedua-dua syarikat itu bersama-sama membangunkan ‘Durian Detective’, iaitu sistem pengesanan 3D yang tidak merosakkan, yang menggabungkan pengimbasan CT dengan pengecaman imej AI.
Sistem tersebut menilai 20 penunjuk, iaitu daripada saiz teras dan kekosongan, kepada tanda-tanda perosak atau reput - dan memberikan setiap buah ‘kad ID berkualiti’ yang unik. Dengan kadar ketepatan lebih 98 peratus, ia adalah 40 kali lebih tepat daripada pemeriksaan manual tradisional.
Industri durian Malaysia kini sedang mendakap transformasi digital dalam pelbagai sudut. Top Fruits Sdn. Bhd., pembekal durian di Malaysia kini menggunakan alat yang didorong AI dalam kolaborasi bersama Universiti Xiamen cawangan Malaysia untuk mengawasi pertumbuhan durian.
Terpapar di pejabat syarikat itu adalah papan pemuka yang memaparkan foto masa nyata setiap pokok durian di kebun tersebut.
“Kami memuat naik gambar kemajuan pertumbuhan pokok secara kerap, dan sistem akan menganalisis secara pintar untuk membuat ramalan,” jelas Tan Xue Yi, ketua R&D syarikat itu, sambil menambah bahawa kaedah itu membolehkan pihaknya membuat perancangan terlebih dahulu dan menambah baik kecekapan.
Menurut Tan Sue Yee selaku ketua syarikat itu, usaha tersebut telah membuahkan hasil. Katanya, sejak Ogos tahun lalu, durian segar Malaysia boleh didapati oleh pengguna China dengan segera, iaitu seawal sehari selepas buah itu dikutip.
Pada 2023, Malaysia mengeksport durian sejuk beku bernilai RMB1.92 bilion (AS$262.73 juta) ke China, iaitu tujuh kali ganda lebih tinggi berbanding 2018. Dengan permintaan dari negara Tembok Besar yang terus bertambah, pekebun durian Malaysia telah menanam lebih banyak pokok, manakala pemuda yang berasal dari luar bandar telah mula pulang ke kampung halaman masing-masing untuk mengusahakan perniagaan.
Ledakan perdagangan durian adalah contoh jelas terhadap hubungan ekonomi China-Malaysia yang diperdalam. Pada 2024, perdagangan dua hala telah mencapai rekod baharu iaitu sebanyak AS$212.04 bilion, mencatatkan kenaikan 11.4 peratus dari tahun ke tahun.
Untuk rekod, China telah menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut dan kekal sebagai salah satu pelabur utama Malaysia, manakala Malaysia pula kekal sebagai rakan dagangan kedua terbesar China dan sumber import terbesar dalam kalangan negara ASEAN.
Pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) telah meluaskan lagi akses pasaran antara China dan Malaysia. Pasaran besar China dan peningkatan berterusan dalam penggunaan membuka lebih banyak peluang untuk rakan dagangan seperti Malaysia.
Seorang pekebun di Raub, Pahang sedang mengikat durian pada ranting pokok untuk mengelakkan daripada ia jatuh dalam keadaan pra-matang. (Foto oleh individu yang diwawancara)
Manakala, pengeksport Malaysia pula semakin terbuka untuk membuat transaksi dalam mata wang RMB, yang disokong oleh bank tempatan yang menawarkan kredit RMB.
Foto bertarikh 24 September 2024 ini memperlihatkan pengunjung sedang memilih produk di reruai Malaysia semasa Ekpso China-ASEAN ke-21 di Nanning, wilayah autonomi Zhuang Guangxi di selatan China. (People’s Daily Online/Yu Xiangquan)
Syarikat-syarikat Malaysia telah mengambil bahagian secara aktif dalam ekspo utama China seperti CIIE dan Ekspo China-ASEAN, membawa produk-produk terkenal seperti kopi putih, manggis, sarang burung, dan minyak sawit ke dalam berjuta-juta isi rumah di China. Sebaliknya, pengguna Malaysia kini menikmati buah-buahan dari China seperti epal, pear wangi dan plum, sekali gus menunjukkan pertukaran dua hala yang mantap.
"Malaysia dan China telah mewujudkan perkongsian yang benar-benar saling menang," kata Menteri Ekonomi Malaysia, Rafizi Ramli.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat China telah meningkatkan pelaburan secara berterusan, mengembangkan jejak mereka, dan memberikan pulangan yang kukuh di Malaysia, menyumbang dengan ketara kepada ekonomi tempatan.
“Hari ini, kedua-dua negara berada pada kedudukan yang baik untuk memperdalam kerjasama dan memacu pembangunan bersama-sama,” tambahnya.
- Saluran Eksport Durian Malaysia ke China Alami Ledakan
- Air Dicencang Tiada Putus | Ikuti Kisah Interaksi Rakyat dari Mulut Pelajar China dan Malaysia
- China, Malaysia Percepat Kesalinghubungan Pembayaran Rentas Sempadan
- Xi Terima Pingat Kolar Besar Kemerdekaan Bangsa Kemboja
- China, Malaysia Terus Pertingkat Kerjasama Ekonomi Digital
- Video: Cabaran Foto Berantai di XMUM
- Jenama Minuman Teh Makin Popular, “Rasa China” Sebati Dengan Kehidupan Harian Warga KL
- Xi Harap China, Malaysia Saling Menyokong dalam Usaha Pemodenan
- Xi Bincang Bersama PM Malaysia
- Pelabur China Dorong Pertumbuhan di Malaysia