Perang Gagal Sendiri: Mengapa Tarif Tidak Mampu Realisasikan MAGA

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 24 April 2025

Nota: Komentar ini dikarang oleh Yi Xin, pengulas hal ehwal antarabangsa di Beijing, dan diterjemah oleh People’s Daily Online

Pada 2 April, Amerika Syarikat (AS) mencetuskan perang dagangan ke paras yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dengan antaranya mengenakan tarif secara berperingkat-peringkat sehingga 125 peratus terhadap import China.

Dalam sekelip mata, pasaran global terus menjunam.

Dari sudut pandang di atas kertas, tindakan agresif tersebut dilihat menjanjikan kemenangan tiga kali ganda buat AS, yakni; menguncupkan defisit perdagangan, menghidupkan pembuatan domestik dan memenuhi kantung dana buat kerajaan menerusi hasil tarif.

Bagaimanapun, tiada satu pun daripada ketiga-tiga objektif itu tercapai.

Faktor defisit perdagangan AS yang kronik bukan berpunca daripada persaingan asing, tetapi daripada ketidakseimbangan ekonominya sendiri. Ekonomi AS semakin didominasi oleh kewangan dan teknologi di pesisir manakala pembuatan pula tertinggal di belakang, sekali gus memaksa mereka untuk bergantung kepada import menyeluruh, daripada elektronik hingga pemesinan.

Tarif tidak boleh menyelesaikan isu tersebut. Solusi sebenarnya adalah seperti pembaharuan pendidikan, inovasi teknologi dan penaiktarafan perindustrian – yang kesemuanya memerlukan pelaburan jangka panjang berbanding halangan perdagangan jangka pendek.

Lebih parah, tindakan tarif tersebut ibarat ‘makan tuan’. Kos import yang tinggi mampu mendorong kepada inflasi, atau lebih teruk iaitu membawa kepada kegawatan – menjadikan laungan ‘Make America Great Again’ atau MAGA satu laluan yang mustahil.

Globalisasi tidak boleh terungkai menerusi tarif

Sebelum cetusan tarif tersebut, The Financial Times (FT) malah pernah memberi amaran bahawa ‘Globalisasi akan mengatasi Donald Trump’. Alasan yang diberikan FT adalah sangat mudah iaitu, “AS kini hanyalah 13 peratus daripada import barangan global, menurun hampir 20 peratus dalam tempoh dua dekad lalu”.

Graviti ekonomi telah berubah, dan tiada taktik unilateral yang mampu mengubahnya semula. AS yang mengasingkan dirinya mampu berisiko untuk tertinggal di belakang, sementara perdagangan berkemekaran di tempat lain di dunia.

Kesan yang tidak disangka-sangka: Dolar menguncup pantas

Ironiknya, perang perdagangan yang dilancarkan oleh Washington memungkinkan kejatuhannya berlaku lebih cepat.

Satu analisis yang dilakukan oleh J.P. Morgan pada 2023 mendapati bahawa terdapat tanda-tanda terhadap dedolarisasi, dengan komoditi seperti minyak semakin didagangkan dalam mata wang selain dolar Amerika.

Pada masa sama, negara-negara Selatan Global semakin mempelbagaikan rizab selain daripada bon Perbendeharaan AS dan menggunakan mata wang penyelesaian alternatif.

Kesemua itu bukan satu perubahan kecil, tetapi satu yang bersejarah. Sama seperti peralihan pasca-WWII daripada standard emas kepada Bretton Woods, perubahan hari ini menawarkan ekonomi baharu muncul satu peluang untuk menentukan dinamik perdagangan global, dan mengurangkan kebergantungan terhadap AS.

Maju ke hadapan: Globalisasi baharu

Pembuat dasar AS secara asasnya telah tersilap langkah dalam ‘menilik’ bagaimana perdagangan global berfungsi. Sama ada AS menjadi wira atau watak jahat, rangkaian bekalan tidak akan tunduk kepada tuntutan politik. Ia kerana, negara-negara berdagang berdasarkan kecekapan, dan bukan taat setia.

Peluang sebenar bukan terletak pada perlindungan tetapi dalam kerjasama. Memandangkan ekonomi Global Selatan memacu gelombang globalisasi seterusnya, seluruh dunia Barat mempunyai pilihan untuk dibuat, iaitu sama ada untuk berpegang pada orde yang semakin pudar, atau bekerjasama dengan pasaran baru muncul untuk membina sistem yang lebih berdaya tahan dan inklusif.

Masa depan perdagangan tidak akan ditentukan oleh tarif—ia akan dibentuk oleh pihak yang mahu menyesuaikan diri.

Video

Berita Berkaitan