Mengapa NEV China digemari ramai?

Kenderaan tenaga baharu (NEV) buatan China terus menarik perhatian dunia. Di Pameran Industri Automobil Antarabangsa Shanghai atau Auto Shanghai baru-baru ini, NEV China menjadi tumpuan perhatian pengunjung dengan teknologi yang canggih dan ciri keberkesanan kos yang ultra tinggi.

Pada 2024, China untuk kali pertama dalam sejarah merekodkan pengeluaran tahunan NEV melebihi paras 10 juta, iaitu 12.888 juta unit, bersamaan 70 peratus jualan EV global. Media asing menzahirkan rasa kagum terhadap kepesatan pertumbuhan yang diperlihatkan oleh China, juga peluang yang dijana daripada kemajuan ini.

Institusi dan penganalisis antarabangsa pada umumnya percaya bahawa pasaran NEV China akan terus berkembang dan menjadi daya penggerak penting dalam pembangunan secara hijau dan karbon rendah industri automotif global.

Apakah sebabnya media asing begitu yakin akan prospek pasaran China?

Keyakinan mereka lahirnya daripada pasaran itu sendiri. China mempunyai populasi berjumlah lebih 1.4 bilion serta golongan pertengahan yang besar. Dengan adanya pasaran berskala raksasa ini, terdapat ruang untuk industri NEV China “menternakkan ikan besar di perairan besar”.

Keyakinan juga timbul dengan melihat ke masa depan. Akhbar harian Jerman Münchner Merkur pernah menerbitkan sebuah rencana yang menganalisis bahawa umur purata pengguna NEV di China hanya 34 tahun, jauh lebih rendah daripada 56 tahun di Kesatuan Eropah. Ini bermakna pasaran masa depan milik sesiapa yang pandai menambat hati orang muda.

Akhirnya, keyakinan juga datang daripada inovasi. Daripada prestasi kenderaan hinggalah rekaan luaran, bahkan teknologi canggih yang membolehkan kenderaan berpusing pada satu titik dan meluncur lancar, NEV China benar-benar menyerlahkan penguasaan aspek-aspek pembolehubah utama dalam inovasi teknologi.

Melihat China dari luar, yang tampak bukan sahaja kedinamikan masa kini yang menakjubkan, tetapi juga trend pembangunan akan datang. Dalam arus transformasi hijau global, NEV China sedang memecut ke arah masa depan yang lebih cerah, dan tiada rintangan apatah lagi pendekatan “halaman kecil, pagar tinggi” yang dapat menghalang NEV China daripada meluncur lebih laju.

Video

Berita Berkaitan