Aroma Durian ‘Pikat’ Pengunjung Rasa Malaysia 2025

(CRI)Jumaat 16 Mei 2025

China merupakan pasaran agri-komoditi kedua terbesar Malaysia bagi tahun 2024 dengan jumlah eksport melebihi RMB38 bilion (RM23 bilion).

Duta Besar Malaysia ke China, Dato’ Norman Muhamad berkata salah satu pemacu utama kepada pertumbuhan tersebut ialah Durian Malaysia terutamanya Musang King atau Mao Shan Wang dan Black Thorn.

Ketika berucap pada majlis perasmian Rasa Malaysia 2025 di daerah Fengtai bandar Beijing pada Jumaat, beliau memaklumkan bahawa jumlah eksport durian Malaysia ke China mencecah RMB40.17 juta (RM23.86 juta).

“Durian Malaysia telah mendapat pengikut setia sebagai buah mewah di China.

"Tambahan pula, bermula Ogos tahun lalu, pengguna China dapat menikmati durian segar dari Malaysia secara besar-besaran selepas pemeteraian Protokol Eksport Durian Segar ke China,” katanya lagi.

Sementara itu bercakap mengenai acara Rasa Malaysia 2025 yang berlangsung selama 3 hari bermula hari ini, Dato’ Norman berkata acara yang memasuki edisi ke-3 ini adalah bagi meraikan pertukaran budaya antara Malaysia dan China serta penghargaan bersama yang ditonjolkan kedua-dua negara terhadap warisan kulinari.

Beliau di dalam ucapan yang sama turut berkongsi beberapa warisan kulinari Malaysia seperti nasi lemak, roti canai, rojak buah dan pelbagai pilihan kuih tradisional Malaysia untuk dicuba sepanjang acara tersebut berlangsung.

Video

Berita Berkaitan