Tiga Soalan untuk Jepun: Membuka Topeng “Negara Pasifis”

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 19 Januari 2026

Oleh Zhong Sheng

Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi baru-baru ini cuba melancarkan gerakan untuk mengubah tiga dokumen keselamatan negara itu, mendakwa bahawa tindakannya berniat untuk memperkukuh “kebebasan dan keamanan” Jepun, juga untuk “melindungi nyawa dan kehidupan rakyat”.

Berkhutbah tentang “keamanan” sedangkan mahu memperbesar kekuatan tentera, di sini terlihatlah percanggahan yang menonjol antara percakapan dan tindakan. Jurang antara dua ini bukan sahaja menyingkap topeng “negara pasifis” yang dipakai oleh Jepun, tetapi juga mendedahkan hala tuju strategik semasa negara itu yang cukup berbahaya.

Sejak sekian lama, Jepun dengan hati-hati memupuk persona “negara pasifis” di pentas antarabangsa, sebagai cubaan untuk membersihkan jenayah pencerobohan ketenteraan dengan helah bersifat retorik dan kosmetik, dengan tujuan memperdaya masyarakat antarabangsa agar meletakkan kepercayaan padanya. Namun pada hakikatnya, perlakuan Jepun mengundang kesangsian akan niat sebenarnya.

Mengapakah negara yang kononnya “pasifis” menganggap “perlembagaan pasifis” sebagai duri dalam daging, hinggakan begitu terdesak sekali hendak membuangnya ke tepi?

“Perlembagaan pasifis” Jepun dengan jelas menetapkan bahawa negara itu buat selama-lamanya melepaskan hak sebagai negara berdaulat untuk melancarkan perang serta menolak ugutan atau penggunaan kekerasan sebagai cara merungkai pertelingkahan antarabangsa. Menurut dokumen itu lagi, Jepun tidak akan sekali-kali membangunkan tentera darat, laut dan udara mahupun apa-apa potensi untuk perang, dan tidak mengiktiraf hak negaranya untuk berperang. Peruntukan ini menjadi batu asas undang-undang domestik untuk Jepun membangun secara damai pasca perang.

Sejak berkuat kuasa pada 1947, “perlembagaan pasifis” telah mengekang kecenderungan Jepun ke arah peluasan ketenteraan, dan memberikan isyarat jelas akan pendirian tidak berperangnya kepada jiran-jiran di Asia yang pernah menjadi mangsa pencerobohan Jepun, justeru memainkan peranan penting dalam membaiki hubungan Jepun dengan negara-negara serantau.

Namun begitu, sayap kanan Jepun telah lama menggambarkan “perlembagaan pasifis” sebagai halangan kepada “penormalan negara” dan pada tahun-tahun kebelakangan ini, telah mempercepat usaha untuk melemahkan pelaksanaannya. Sebagai contoh, mereka menggubal Akta Perlindungan Rahsia (SDS), merangka undang-undang keselamatan baharu, menambah perbelanjaan ketenteraan dengan lebih cepat, membangunkan apa yang dikatakan mereka “keupayaan menyerang balas”, bahkan melonggarkan kawalan berkaitan eksport senjata.

Kesemua tindakan ini bercanggah dengan niat asal perlembagaan pasifis, menjadikan prinsip “dasar berorientasikan pertahanan” tidak bererti lagi, secara diam-diam mengiktiraf “hak Jepun untuk berperang”, dan sebenarnya memarakan Jepun ke arah “neo-militarisme”.

Mengapakah negara yang kononnya “pasifis” cuba mengubah “Tiga Prinsip Tanpa Nuklear”?

Cubaan ini hanya mendedahkan cita-citanya untuk memiliki senjata nuklear. Sebagai satu-satunya negara di dunia yang pernah mengalami serangan nuklear, Jepun sepatutnya teguh mendukung ketakleluasaan senjata nuklear. Bagaimanapun, pegawai-pegawai kanan Jepun bangkit dengan hujah-hujah falasi yang menyokong “persenjataan nuklear”, dan menunjukkan keinginan yang semakin menjadi-jadi untuk mengubah “Tiga Prinsip Tanpa Nuklear”.

Kelakuan seumpama bukan sahaja mengkhianati ikrar Jepun sendiri kepada keamanan, tetapi dilihat sebagai satu cabaran terbuka kepada aturan antarabangsa pasca perang dan kewibawaan Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT).

Jepun adalah contoh tipikal “negara ambang nuklear”, yang sekian lama menghasilkan dan menyimpan plutonium jauh melebihi keperluan tenaga nuklear kegunaan awam. Atas sebab inilah, sebarang pelonggaran terhadap dasar nuklear Jepun akan menggegarkan landskap keselamatan serantau dan kestabilan strategik global.

Sebagai respons kepada kecenderungan pro-nuklear semasa kerajaan Jepun, sesetengah media negara itu sendiri telah membangkitkan soalan tajam: sekiranya “Tiga Prinsip Tanpa Nuklear” pun ditolak ke tepi, ini akan mengundang kesudahan yang paling buruk – sejauh manakah kerajaan yang agresif ini mahu bertindak mendedahkan sifat sebenarnya?

Mengapakah negara yang kononnya “pasifis” sering kali menimbulkan kekacauan dan menjejaskan keamanan serta kestabilan serantau?

Kerajaan Takaichi telah berkali-kali membuat kacau berhubung isu Taiwan, dan terang-terangan mencampuri urusan dalaman China, malah mengeluarkan ugutan ketenteraan terhadap China, perbuatan yang menjerumuskan hubungan dua negara ke dalam kesulitan.

Bukanlah berlaku hanya sekali; sayap kanan Jepun pada tahun-tahun kebelakangan ini tidak henti menggembar-gemburkan teori lapuk “ancaman China”, dengan sengajanya memburukkan keadaan dan mencetuskan kekacauan berhubung isu Taiwan dan Laut China Selatan. Jepun juga tidak putus-putus dirundung masalah dalam hubungannya dengan negara-negara serantau yang lain termasuk Korea Selatan, Rusia, dan Korea Utara.

Lebih bahaya lagi, Jepun sedang sedaya-upaya mengetengahkan diri sebagai “barisan hadapan” untuk negara-negara di luar rantau, mendesak penubuhan sebuah “NATO versi Asia Pasifik” dan cuba membawa masuk konfrontasi blok ke Asia. Ini benar-benar merosakkan rasa saling percaya antara negara-negara serantau, malahan mengundang risiko besar yang menggugat keamanan dan kestabilan serantau.

Cenderung bergaduh dan gila perang, sifat Jepun dalam sejarah patut diambil sebagai amaran; sebarang tanda kebangkitan semula militarisme dan kenekatan semberono sesuatu yang perlu diawasi oleh masyarakat antarabangsa dengan waspada.

Mengenang kembali Perang Dunia II, Jepun pernah menutupi pencerobohannya dengan slogan palsu “Lingkungan Kemakmuran Bersama Asia Timur Raya”, bergantung pada tabir diplomatik untuk menipu, dan dengan muka tembok melancarkan serangan mengejut ke atas Pearl Harbor.

Hari ini, Jepun sekali lagi membalutkan diri dengan mantel “keamanan”, walhal pada praktiknya sedang mengejar peluasan ketenteraan serta dasar-dasar yang menjejaskan keamanan dan kestabilan serantau.

Percakapan dan tindakan sedemikian serupa dengan taktik jahat tentera Jepun sebelum dan semasa tercetusnya Perang Dunia II. Matlamatnya adalah untuk mengelabui masyarakat antarabangsa, dan mencipta keadaan yang turut memudahkan spekulasi strategik dan kenekatan.

Pada 1954, Jepun menghadiahkan sebuah “Loceng Keamanan” kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang padanya tertera “keamanan dunia kekal abadi”. Tiada yang lebih ironik, apabila sayap kanan Jepun kini makin jauh tersasar di jalan “neo-militarisme” yang menempah bencana.

Berdepan dengan hala tuju kerajaan Takaichi yang amat salah dan sungguh bahaya ini, masyarakat antarabangsa harus terus berjaga-jaga, melihat dengan jelas topeng kepalsuan yang dipakai oleh “negara pasifis” itu, dan mengambil tindakan tegas untuk bersama-sama mempertahankan keamanan dan kestabilan serantau bahkan sejagat.

(Zhong Sheng ialah nama pena yang digunakan oleh People’s Daily untuk menzahirkan pandangan tentang dasar luar dan hal ehwal antarabangsa)

Video

Berita Berkaitan