Hubungan Baik dengan China Beri Manfaat Besar kepada Malaysia dan ASEAN – PM Anwar

(CRI)Selasa 15 April 2025

Kekuatan ekonomi China dan hubungan yang akrab memberi manfaat kepada Malaysia dan negara ASEAN lain dalam mendepani kejutan tarif dan cabaran global.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak menafikan kejutan tarif telah memberi kesan dan dampak negatif, namun perkara itu mampu ditangani dengan pengukuhan kerjasama, perdagangan intra-ASEAN dan negara-negara bersahabat seperti China.

“ASEAN sendiri pun ada kekuatan yang besar, jadi kita ambil pendekatan begitu tetapi tidak juga memutuskan perbincangan dan rundingan supaya kembali kepada asas perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat (AS), tetapi kalau dengan China itu ada lain konteksnya, pertama ialah jiran, keduanya hubungan kita tiada masalah, ketiganya kekuatan ekonominya beri manfaat kepada kita,” kata beliau.

Tambah Datuk Seri Anwar lagi, beliau mengambil sikap yang praktik dan pragmatik dalam hal tersebut iaitu ‘selagi orang berkawan baik dengan kita, kita harus sambut lebih baik daripada itu’.

Sementara itu ketika ditanya bagaimana Malaysia memainkan peranannya sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini dalam memastikan kesatuan dan kesepaduan terus kuat dan tidak terperangkap dalam pertembungan kuasa-kuasa besar, beliau berkata harus ada mekanisme rundingan sama ada bilateral atau melalui ASEAN bagi mendepani situasi tersebut.

“Sebab itu kita katakan, laluan ini harus laluan bebas dan harus ada mekanisme rundingan sama ada bilateral atau melalui ASEAN, adakah kita hadapi masalah sekarang? Tidak. Adakah kita ada masalah hanya sempadan dengan negara China? Tidak benar.

“Kita ini negara maritim, negara maritim dan sempadan kita dengan Thai pun belum selesai semuanya, dengan Singapura masih runding, dengan Brunei, Indonesia, Filipina jadi mengapa dalam soal negara China itu ditingkatkan seolah-olah suhu kehangatan itu masalah dengan China sahaja,” ujar beliau lagi.

Mengulas lanjut berhubung isu sempadan, Datuk Seri Anwar berkata Malaysia tidak hanya mempunyai masalah dengan China sebaliknya dengan negara-negara lain, namun tidak pernah berasa ada gugatan, kerana penyelesaiannya adalah menerusi rundingan secara baik.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual Kumpulan Media China (CMG) dan Astro Awani di Putrajaya hari ini.

Video

Berita Berkaitan