Puluhan Ribu Rakyat Jepun Bantah Dasar Ketenteraan, Pertahan Perlembagaan Keamanan

(CRI)Khamis 09 April 2026

Puluhan ribu rakyat Jepun berhimpun di hadapan Bangunan Parlimen di Tokyo pada Rabu malam bagi membantah langkah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Sanae Takaichi yang didakwa menjejaskan Perlembagaan Keamanan, termasuk penempatan peluru berpandu jarak jauh dan cadangan melonggarkan larangan eksport senjata berbahaya.

Perhimpunan itu dianjurkan kumpulan penduduk Jepun yang menentang pindaan perlembagaan.

Penganjur memaklumkan kira-kira 30,000 orang menyertai perhimpunan terbabit.

Para penunjuk perasaan dilihat memegang sepanduk bertulis "Pertahan Perkara 9 Perlembagaan", "Tolak Peperangan", "Kerajaan Takaichi Mesti Berundur" sambil melaungkan slogan "bantah pindaan perlembagaan" dan "tolak perang", selain menggesa supaya Perlembagaan Keamanan terus dipertahankan.

Menurut laporan Tokyo Shimbun, perhimpunan seumpama turut diadakan di lebih 130 lokasi lain di Jepun pada hari yang sama.

Perkara 9 perlembagaan Jepun yang berkuatkuasa sejak 1947, menetapkan bahawa Jepun selama-lamanya menolak peperangan, ancaman kekerasan atau penggunaan kekuatan tentera sebagai kaedah menyelesaikan pertikaian antarabangsa.

Namun, pada 31 Mac Jepun dilaporkan telah memasang peluru berpandu jarak jauh yang mempunyai keupayaan menyerang pangkalan musuh di wilayah Kumamoto dan Shizuoka.

Media Jepun turut melaporkan bahawa kerajaan Sanae Takaichi juga merancang untuk membatalkan larangan terhadap pengeksportan senjata berbahaya pada bulan ini.

Perkembangan ketenteraan tersebut mencetuskan kebimbangan dan menerima kritikan meluas dalam pelbagai lapisan masyarakat Jepun, yang berpendapat ia menunjukkan negara itu semakin menjauh daripada prinsip pertahanan eksklusif serta berpotensi menjejaskan semangat Perlembagaan Keamanan.

Video

Berita Berkaitan