Artikel Presiden Xi Disiar di Media Malaysia

(CRI)Selasa 15 April 2025

Menjelang lawatan rasmi Presiden China Xi Jinping ke Malaysia, artikel ditulis beliau yang bertajuk ‘Layarkan Kapal Persahabatan China-Malaysia Menuju ke Masa Hadapan yang Lebih Cerah’ disiarkan di media tempatan.

Berikut ini ialah artikel sepenuhnya:

ATAS undangan Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim, saya akan mengadakan lawatan negara ke Malaysia bermula hari ini.

Ini merupakan lawatan kedua saya ke negara yang indah permai ini selepas 12 tahun. Saya menanti-nantikan peluang untuk merasai sendiri pembangunan dan perubahan baharu di Malaysia dan menemui rakan-rakan dari Malaysia untuk meraikan persahabatan kita dan merancang kerjasama pada masa depan.

China dan Malaysia merupakan negara jiran seberang laut yang akrab. Laluan Sutera Maritim menyaksikan hubungan persahabatan rakyat kedua-dua negara selama beribu-ribu tahun.

Peribahasa Melayu ‘Air yang dicincang tidak akan putus’ tepat menggambarkan persahabatan yang diwarisi turun-temurun kita semakin kukuh seiring dengan perkembangan zaman.

Lebih dari 1,300 tahun lalu, Yijing (636-713), seorang sami Buddha pada zaman Dinasti Tang China, pernah singgah di Semenanjung Tanah Melayu dalam perjalanannya menyeberang laut ke India untuk menuntut Dharma. Yijing telah membuat catatan terawal sejarah Kedah Tua.

Lebih 600 tahun lalu pula, Zheng He (1371-1433), seorang pelayar dan penjelajah Dinasti Ming China, pernah lima kali singgah di Melaka dalam pengembaraannya ke Barat.

Lawatannya telah menyemai benih keamanan dan persahabatan. Tokong Poh San Teng, Bukit China dan Perigi Hang Li Poh di Melaka membawa rasa rindu yang mendalam rakyat tempatan terhadap beliau.

Lebih 80 tahun lalu, pada detik penting dalam Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun, para pemandu dan jurutera sukarelawan Nanyang dari Malaysia telah bergegas ke Wilayah Yunnan, China dengan semangat keberanian dan pengorbanan, membantu membuka Jalan Raya Yunnan-Burma, yang menjadi laluan hayat yang amat penting pada ketika itu.

Hari ini, kisah yang luar biasa ini masih bergema dalam sanubari rakyat kedua-dua negara. Sambil kita mengenang masa lalu dan melangkah ke masa depan, kita seharusnya berusaha bersama-sama untuk menambah momentum demi mendorong kapal persahabatan ini ke masa depan yang lebih cemerlang.

Kita harus menggenggam erat kemudi strategik yang membimbing kapal persahabatan kita. Pada 51 tahun yang lalu, pemimpin China dan Malaysia telah menembusi kabus suram era Perang Dingin, membuat keputusan untuk menjalinkan hubungan diplomatik dan menerajui pembukaan babak baharu yang amat bersejarah dalam hubungan antara China dan ASEAN.

Sejak itulah, China dan Malaysia sentiasa saling menyokong dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan teras dan keprihatinan utama berdasarkan prinsip kebebasan strategik dan menghormati jalan pembangunan masing-masing.

Hubungan China-Malaysia sudah menjadi teladan bagi dua negara untuk mencapai kemakmuran bersama melalui kerjasama yang saling menguntungkan.

Pada tahun 2023, saya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mencapai kata sepakat untuk bersama-sama membina Komuniti Berkongsi Nasib China-Malaysia. Ini membuka lembaran baharu bagi hubungan dua hala kita.

China dan Malaysia harus mengeratkan komunikasi strategik, memperkukuh rasa saling percaya dalam bidang politik, melaksanakan perancangan kerjasama mengenai membina bersama Inisiatif Jalur dan Laluan yang ditetapkan oleh kerajaan kedua-dua negara, mempertingkatkan penyelarasan strategi pembangunan dan pertukaran pengalaman dalam tadbir urus negara, serta memacu perkembangan hubungan dua hala melalui kerjasasama strategik bertaraf tinggi.

Kita harus memperluas kerjasama pragmatik yang menjadi batu pemberat kapal persahabatan kita. Pada tahun 2024, jumlah perdagangan dua hala China-Malaysia telah mencapai AS$212 bilion, meningkat hampir 1,000 ganda berbanding angka semasa hubungan dua hala kita baru dijalinkan.

Kini, China terus menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut. Durian segar Malaysia yang amat digemari oleh orang China boleh dihantar langsung dari kebun ke pasar raya China dalam masa sehari. Pelaburan

Jumlah keseluruhan pelaburan di Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) sudah melebihi 11 bilion Renminbi. Dijangka, ini akan mencipta banyak peluang pekerjaan selepas semua projek yang dirancang di MCKIP siap dibina.

Potensi kerjasama kedua-dua negara terus dirangsangkan dalam bidang ekonomi digital, pembangunan hijau, pelaburan industri, pembinaan infrastruktur pengangkutan dan lain-lainnya.

Kita harus memperdalam kerjasama yang saling menguntungkan, mendorong pembinaan Inisiatif Jalur dan Laluan bermutu tinggi bersama-sama, menguatkan kerjasama rantaian perindustrian dan bekalan dengan mengutamakan kerjasama dalam bidang ekonomi digital, ekonomi hijau, ekonomi biru dan industri pelancongan bagi mempercepat proses pemodenan masing-masing.

Kita harus menggalakkan pertukaran antara rakyat untuk terus menggerakkan kapal persahabatan kita ke hadapan. China dan Malaysia saling melaksanakan pengecualian visa bagi warganegara. Tahun 2024 menyaksikan hampir enam juta lawatan timbal balik antara China dan Malaysia, melebihi tahap sebelum pandemik Covid-19.

Slogan Malaysia, Truly Asia dapat memperlihatkan keunikan Malaysia dari segi kebudayaan, sejarah dan keindahan alam dan telah menarik ramai pelancong China bercuti di Malaysia. Pada masa yang sama, juga semakin ramai pelancong Malaysia melawat China untuk menikmati warisan bersejarah dan suasana kontemporari.

Saya berharap rakyat China dan Malaysia sering melawat antara satu sama lain seperti saudara-mara. Kita harus mendorong kunjungan antara rakyat dan pertukaran kebudayaan bagi meningkatkan persefahaman dan kemesraan antara kita, khususnya generasi muda.

Kita harus belayar bersama kapal persahabatan untuk menuju ke arah kerjasama multilateral.

China dan Malaysia menjadi negara membangun utama di rantau Asia-Pasifik. Kita juga entiti ekonomi di pasaran baharu muncul dan anggota penting dalam Selatan Global. Kami mempunyai pendirian yang sama dalam mempertahankan kesamarataan dan keadilan antarabangsa, serta mendorong pembangunan yang terbuka dan inklusif.

China dan Malaysia telah menjalankan kerjasama yang rapat dalam rangka pelbagai mekanisme multilateral termasuk Kerjasama Asia Timur, Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

China mengalu-alukan Malaysia menjadi negara rakan BRICS. Ini selaras dengan aliran bersejarah di mana negara-negara Selatan Global bersatu padu untuk mengejar kemajuan dan pembangunan diri dan juga memberi manfaat bagi memelihara kepentingan bersama negara-negara membangun.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-80 kemenangan Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia, ulang tahun ke-80 penubuhan PBB serta ulang tahun ke-70 Persidangan Bandung.

Untuk mengingati peristiwa sejarah tersebut yang penuh bermakna, kita harus memanfaatkan kesempatan ini untuk mempereratkan kerjasama yang saling menguntungkan dalam urusan antarabangsa dan serantau, mewarisi dan menyemarakkan Lima Prinsip Hidup Bersama Secara Damai dan Semangat Bandung.

Kami perlu mempertahankan sistem antarabangsa yang berteraskan PBB dan tertib antarabangsa yang berdasarkan undang-undang antarabangsa, dan menggalakkan tadbir urus global ke arah lebih adil dan munasabah. Kita harus memelihara sistem perdagangan multilateral, mempertahankan kestabilan rantaian perindustrian dan bekalan, serta melindungi persekitaran antarabangsa yang terbuka dan bekerjasama.

Sebagai satu komuniti yang berkongsi nasib, China dan Malaysia merupakan sahabat yang sedia menangani risiko, ancaman dan kesukaran bersama.

Peribahasa popular di kedua-dua negara iaitu ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ mencerminkan inti patinya, Komuniti Berkongsi Nasib China-Malaysia. Kita harus mendapani arus zaman, berjuang dengan keazaman yang tidak mengalah, dan bersama membina masa depan yang cemerlang ke arah negara membangun yang makmur.

Kerjasama bersahabat antara China dan negara-negara ASEAN telah menempuh ujian masa dan cabaran zaman, dan semakin kukuh dari masa ke masa.

China merupakan rakan dialog ASEAN yang paling awal menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), dan negara yang pertama menjalin kawasan perdagangan bebas serta perkongsian strategik komprehensif dengan ASEAN. Mekanisme kerjasama China-ASEAN adalah paling produktif dan berhasil di rantau ini.

China dan negara-negara ASEAN bergotong-royong dan memperkukuh solidariti dalam menghadapi cabaran-cabaran seperti krisis kewangan Asia, krisis kewangan global, pandemik Covid-19, serta cabaran berikutan globalisasi ekonomi. Pada tahun 2024, China dan ASEAN terus menjadi rakan perdagangan terbesar antara satu sama lain selama lima tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan yang mencecah AS$980 bilion.

Rundingan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN 3.0 sudah diselesaikan. Semakin banyak produk bermutu tinggi dari negara-negara ASEAN memasuki pasaran China. Sementara itu, karya sastera China, animasi, filem, drama dan lain-lain yang membawa budaya tradisional yang unggul dan suasana kehidupan moden China yang penuh daya tarikan semakin diterima di negara-negara ASEAN.

China teguh menyokong perpaduan ASEAN dan pembinaan Komuniti ASEAN, serta menyokong peranan pusat ASEAN dalam kerangka serantau. China sedia memberi sokongan penuh kepada Malaysia yang menyandang jawatan pengerusi negara bergilir ASEAN tahun 2025 dan berharap Malaysia akan memainkan peranannya sebagai negara penyelaras hubungan China-ASEAN.

China kini sedang memperkasakan pemodenan ala China demi memacu pembangunan negara dan kebangkitan bangsa. Modenisasi ala China mengutamakan jalan pembangunan secara damai.

China bersedia bersama-sama pelbagai negara menjalankan kerjasama yang saling menguntungkan dan mewujudkan kemakmuran bersama. Ekonomi China dibina atas asas yang kukuh dengan pelbagai kelebihan, daya tahan ekonomi kami cukup kuat dan berpotensi besar.

Ini akan menjamin pertumbuhan positif ekonomi China tetap kukuh dan mengekalkan trend perkembangan ekonomi China ke arah baik dalam jangka panjang. China menyasarkan pertumbuhan ekonomi sekitar lima peratus pada tahun 2025.

China akan terus mendorong pembangunan berkualiti tinggi dan pelaksanaan dasar pintu terbuka yang bertaraf tinggi, di samping berkongsi peluang pembangunan dengan pelbagai negara dan membawa kestabilan dan kepastian kepada ekonomi serantau, malah seluruh dunia.

Perpaduan membawa kekuatan dan kerjasama membawa kejayaan bersama. China bersedia bekerjasama dengan Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain untuk menangani arus bawah geopolitik dan konfrontasi blok serta arus unilateralisme dan proteksionisme sejajar dengan arus zaman ke arah keamanan dan pembangunan.

Marilah kita mendorong komuniti berkongsi nasib strategik yang bertaraf tinggi antara China dengan Malaysia terus berkembang, berganding tangan membina komuniti berkongsi nasib China-ASEAN yang lebih rapat.

Video

Berita Berkaitan